POLIS menahan dua lelaki yang disyaki membantu kegiatan along menerusi Op Vulture di sekitar Kota Bharu, Kelantan pada Isnin.
Menurut Ketua Polis Kelantan, Datuk Muhamad Zaki Harun, kedua-dua suspek masing-masing berusia 29 dan 39 tahun itu ditahan dalam serbuan berasingan oleh pasukan risik dan operasi Jabatan Siasatan Jenayah Komersial (JSJK) Ibu Pejabat Polis Kontinjen (IPK) Kelantan.
Beliau berkata, suspek pertama berusia 39 tahun ditahan pada jam 10 pagi ketika menaiki sebuah kereta jenis Proton Wira dalam keadaan mencurigakan, di hadapan Sekolah Jenis Kebangsaan Cina Chung Hwa, Jalan Kelocor di Kota Bharu.
“Dalam serbuan itu, polis merampas sebuah telefon bimbit jenis Huawei Mate 30 Pro dan kad sim selepas disyaki menjalankan aktiviti perniagaan pinjaman wang tanpa lesen.
“Susulan daripada tangkapan pertama pada jam 4 petang, anggota bertugas telah menahan sebuah kereta jenis Nissan Sentra yang berada dalam keadaan mencurigakan di hadapan kilang serbuk kari di Taman Koperasi, Jalan Long Yunus, Tanjung Chat,” katanya dalam kenyataan pada Khamis.
Dalam serbuan sana, katanya, polis merampas sebuah telefon bimbit jenis Iphone 12 Pro dan sekeping kad sim selepas disyaki menjalankan aktiviti perniagaan pinjaman wang tanpa lesen.
Katanya, hasil siasatan awal polis mendapati, kedua-dua suspek menjalankan kegiatan memberi pinjaman wang tanpa lesen sejak 2019 yang melibatkan mangsa atau peminjam dari daerah Kota Bharu dan Pasir Mas.
Menurutnya lagi, suspek pertama akan dibawa ke Mahkamah Kota Bharu pada Khamis untuk pertuduhan, manakala suspek kedua akan ditangkap semula berkait repot Pasir Mas.
Ujar beliau, kes terbabit disiasat mengikut Seksyen 5(2) Akta Pemberi Pinjam Wang (APPW) 1951.
“Orang awam dinasihatkan agar berhati-hati dan tidak terjebak dengan pinjaman wang tanpa lesen kerana akan memberikan kesan yang buruk kepada peminjam, keluarga dan orang sekeliling.
“Polis Kelantan kini dalam gerak kerja menggempur sindiket along di seluruh negeri ini secara habis-habisan dan kami tidak akan berkompromi terhadap kumpulan pinjaman wang tidak berlesen,” katanya.