HomeBeritaPolitikPRK Kuala Kubu Baharu pada 11 Mei - SPR

PRK Kuala Kubu Baharu pada 11 Mei – SPR

CYBERJAYA: Suruhanjaya Pilihan Raya (SPR) menetapkan Pilihan Raya Kecil (PRK) Dewan Undangan Negeri (DUN) Kuala Kubu Baharu akan diadakan pada 11 Mei 2024.

Pengerusi SPR, Tan Sri Abdul Ghani Salleh berkata, hari penamaan calon adalah pada 27 April, manakala hari pengundian awal pada 7 Mei depan.

“Tempoh berkempen akan bermula selepas pengisytiharan calon yang bertanding pada 27 April 2024 sehingga jam 11.59 malam, pada 10 Mei 2024,” katanya.

Abdul Ghani mengumumkan perkara itu dalam satu sidang media, selepas mempengerusikan mesyuarat khas yang berlangsung di Menara SPR dekat Putrajaya pada Khamis, bagi membincangkan tarikh penting berkaitan PRK Kuala Kubu Baharu.

Kerusi DUN Kuala Kubu Baharu kosong susulan kematian penyandangnya, Lee Kee Hiong, pada 21 Mac lepas.

Lee, 58, yang menjadi Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Kuala Kubu Baharu di bawah Parlimen Hulu Selangor sejak 2013 meninggal dunia, selepas bergelut melawan kanser sejak beberapa tahun lepas.

Pada Pilihan Raya Negeri (PRN) Ogos tahun lalu, Kee Hiong menewaskan calon Perikatan Nasional (PN) Teoh Kien Hong dengan majoriti 4,119 undi.

PRK Kuala Kubu Baharu merupakan PRK ketujuh yang diadakan selepas Pilihan Raya Umum ke-15 (PRU15) pada 2022.

 

 

Author

Pilihan Editor