HomeBeritaProses penamaan calon PRK Kuala Kubu Baharu lancar - Polis Selangor

Proses penamaan calon PRK Kuala Kubu Baharu lancar – Polis Selangor

PROSES penamaan calon bagi Pilihan Raya Kecil (PRK) Dewan Undangan Negeri (DUN) Kuala Kubu Baharu pada Sabtu berjalan lancar tanpa sebarang insiden tidak diingini.

Timbalan Ketua Polis Selangor, Datuk S. Sasikala Devi berkata, bagi memastikan kelancaran proses penamaan calon, seramai 284 pegawai dan anggota polis telah digerakkan dengan dibantu 15 kakitangan Majlis Perbandaran Hulu Selangor (MPHS).

“Polis Selangor mengucapkan terima kasih kepada semua parti politik yang bertanding kerana memberikan kerjasama serta mematuhi peraturan yang ditetapkan oleh Polis Diraja Malaysia (PDRM) dan Suruhanjaya Pilihan Raya (SPR).

“Diharap kerjasama yang diberikan dapat diteruskan dari semasa ke semasa sehingga ke hari pengundian,” katanya dalam kenyataan pada Sabtu.

Proses penamaan calon yang berlangsung di Dewan Serbaguna dan Kompleks Sukan Daerah Hulu Selangor, dekat Hulu Selangor, Selangor bermula pada jam 9 pagi dan berakhir sejam kemudian.

PRK Kuala Kubu Baharu menyaksikan pertandingan empat penjuru di antara Khairul Azhari Saut (Perikatan Nasional), Pang Sock Tao (Pakatan Harapan), Nyau Ke Xin (Bebas) dan Hafizah Zainudin (Parti Rakyat Malaysia).

PRK tersebut diadakan susulan kematian penyandangnya Lee Kee Hiong, 58, pada 21 Mac lepas akibat kanser.

SPR menetapkan hari pengundian bagi PRK berkenaan pada 11 Mei manakala pengundian awal pada 7 Mei.

PRK Kuala Kubu Baharu merupakan PRK ketujuh yang diadakan selepas Pilihan Raya Umum ke-15 pada 2022.

SPR sebelum ini berkata, PRK kali ini akan menyaksikan jumlah pemilih seramai 40,226 orang yang terdiri daripada 39,362 orang pengundi biasa, 238 (tentera dan pasangan) serta 625 orang anggota polis termasuk seorang pengundi yang tidak hadir kerana berada di luar negara.

Author

Pilihan Editor