HomeBeritaRupanya pelajar cemerlang, calon PH tayang keputusan UPSR, SPM

Rupanya pelajar cemerlang, calon PH tayang keputusan UPSR, SPM

PANG Sock Tao tampil memberi penjelasan selepas beberapa jam beliau diasak pembangkang, yang mempersoalkan latar belakang pendidikannya.

Menerusi hantaran di laman Facebook, calon Pakatan Harapan (PH) bagi Pilihan Raya Kecil (PRK) Dewan Undangan Negeri (DUN) Kuala Kubu Baharu itu berkata, beliau menamatkan sesi persekolahan menengahnya di Sekolah Menengah (SM) Chung Hua Port Dickson, Negeri Sembilan.

Pada masa sama, Tao, 31, turut memuat naik transkrip Sijil Pelajaran Malaysia (SPM) dengan keputusan cemerlang 10A iaitu empat (A+), serta tiga (A-) dan tiga (A).

Cemerlang. Keputusan SPM Tao yang dimuat naik di laman Facebook. -FB Xiao Tao

Keputusan itu diperoleh bagi mata pelajaran Bahasa Melayu, Bahasa Inggeris, Pendidikan Moral, Sejarah, Matematik, Matematik Tambahan, Fizik, Kimia, Biologi dan Bahasa Cina.

Selain itu, Tao yang juga bekas Setiausaha Akhbar kepada Menteri Perumahan dan Kerajaan Tempatan dan Setiausaha Publisiti Cawangan DAP Pekan Ampang, turut memuat naik sijil keputusan Ujian Pencapaian Sekolah Rendah (UPSR) yang didudukinya di Sekolah Jenis Kebangsaan Cina (SJKC) On Pong Ampang, dekat Hulu Langat, Selangor pada 2005.

Tao memperoleh keputusan cemerlang dalam UPSR. -FB Xiao Tao

Berdasarkan keputusan UPSR itu, Tao turut memperoleh kesemua A dalam kelima-lima mata pelajaran yang didudukinya.

Lima mata pelajaran itu adalah Bahasa Cina (ujian pemahaman dan penulisan),Bahasa Melayu (pemahaman dan penulisan), Bahasa Inggeris, Matematik dan Sains.

“Yang Berhormat (Ahli Parlimen) Pasir Mas, Tuan Ahmad Fadhli Shaari bertanya tentang (keputusan) UPSR dan SPM saya. Inilah jawapannya.

“Saya terhutang budi kepada guru-guru yang pernah mengajar saya. Ucapan terima kasih sahaja memang tidak cukup sebagai balasan atas jasa bakti yang telah dicurahkan dalam mendidik saya.

“Terima kasih juga kepada ibu bapa saya yang tidak pernah mengabaikan pendidikan anak-anak mereka,” tulisnya dalam hantaran itu pada Isnin.

Terdahulu, Ketua Penerangan PAS, Ahmad Fadhli Shaari mencabar Tao untuk memaklumkan mengenai lokasi sekolah beliau menduduki UPSR dan SPM.

Isu itu berbangkit selepas latar belakang calon Perikatan Nasional (PN), Khairul Azhari Saut menjadi persoalan ketika kempen PRK Kuala Kubu Baharu.

Ini selepas tular sebuah poster memaparkan beliau memiliki Diploma Eksekutif Pengurusan dari Universiti Malaya (UM) pada 2019, sebelum ‘melangkau’ dengan memperoleh Ijazah Sarjana Eksekutif Pengurusan Perniagaan di Universiti Malaysia Pahang Al-Sultan Abdullah (UMPSA) Advance, dua tahun kemudiannya.

Khairul Azhari kemudian bertindak memuat naik sijil dan transkrip pengajian Ijazah Sarjana Eksekutif Pengurusan Perniagaan, UMPSA Advance, yang diperolehi pada 29 September 2021.

Selain itu, Pegawai Eksekutif UMPSA Advance, Dr Ahmad Johari Mohammad turut mengesahkan bahawa, Khairul Azhari memiliki Sarjana Eksekutif Pengurusan Perniagaan dari institut berkenaan.

Ahmad Johari berkata, Khairul Azhari melanjutkan pengajian melalui program profesional di bawah UMPSA Advance dan menerima sarjananya dalam majlis konvokesyen pada 2021.

PRK Kuala Kubu Baharu menyaksikan pertandingan empat penjuru di antara Khairul Azhari, Tao, Nyau Ke Xin (Bebas) dan Hafizah Zainudin (Parti Rakyat Malaysia).

PRK tersebut diadakan susulan kematian penyandangnya Lee Kee Hiong, 58, pada 21 Mac lepas akibat kanser.

Suruhanjaya Pilihan Raya (SPR) menetapkan hari pengundian bagi PRK berkenaan pada 11 Mei manakala pengundian awal pada 7 Mei.

 

 

 

 

Author

Pilihan Editor