SEKURANG-KURANGNYA sembilan peluru berpandu Iran menghentam dua pangkalan udara Israel semasa serangan baru-baru ini, merosakkan infrastruktur, lapor ABC News pada Ahad, memetik seorang pegawai kanan Amerika Syarikat (AS) yang tidak didedahkan namanya.
Lima peluru berpandu balistik menyerang pangkalan udara Nevatim Israel, merosakkan pesawat pengangkut tentera C-130, landasan dan kemudahan penyimpanan, manakala empat lagi peluru berpandu menghentam pangkalan udara Israel di padang pasir Negev tetapi tiada sebarang kerosakan ketara dilaporkan.
Pada Sabtu malam, Kor Pengawal Revolusi Islam Iran melancarkan lebih 300 dron dan peluru berpandu ke arah Israel dalam serangan pertamanya ke atas wilayah Israel, kata Pasukan Pertahanan Israel (IDF). Serangan itu dibuat sebagai tindak balas terhadap serangan udara Israel ke atas konsulat Iran di Damsyik pada 1 April.
Media negara Iran melaporkan bahawa Iran telah menembak sekurang-kurangnya tujuh peluru berpandu hipersonik ke arah Israel, dengan tiada satu pun daripadanya dipintas.
Sementara itu, CNN melaporkan, memetik pegawai AS, bahawa tentera AS telah memintas lebih daripada 79 dron dan sekurang-kurangnya tiga peluru berpandu hipersonik semasa serangan Iran.
Jurucakap IDF, Daniel Hagari berkata, Israel telah memintas 99 peratus daripada sasaran udara yang ditembak oleh Iran, termasuk semua dron. – Sputnik