SEBANYAK 488 acara dipertandingkan pada temasya Sukan Malaysia (SUKMA) Sarawak 2024, yang dijadualkan berlangsung mulai 17 hingga 24 Ogos depan.
Majlis Sukan Negara (MSN) dalam kenyataan pada Selasa memaklumkan, keputusan itu seperti dipersetujui Jawatankuasa Tertinggi SUKMA menerusi mesyuarat dipengerusikan Menteri Belia dan Sukan, Hannah Yeoh.
Menurut kenyataan itu, jumlah acara terbahagi kepada 236 acara lelaki, 217 acara wanita dan 35 acara campuran atau terbuka untuk 37 jenis sukan yang akan dipertandingkan.
Tambahnya, setiap acara perlu menyaksikan penyertaan minimum atlet daripada enam negeri untuk membolehkan ia dipertandingkan, dan akan dilangsungkan di sembilan bahagian seluruh Sarawak iaitu Kuching dengan 25 jenis sukan diikuti Miri (enam jenis), diikuti Sibu, Mukah dan Bintulu masing-masing tiga jenis sukan.
Selain itu, Samarahan akan mempertandingkan dua jenis sukan, Serian dan Sri Aman masing-masing satu jenis, bagi memastikan kemeriahannya dapat dirasai rakyat di seluruh Sarawak.
“Penganjur telah mengenal pasti lima Perkampungan Sukan utama bagi menempatkan atlet daripada 15 kontinjen bertanding iaitu di Universiti Malaysia Sarawak (Unimas) Kota Samarahan; Kolej Laila Taib di Sibu; Universiti Teknologi Mara (UiTM) Kampus Mukah; Universiti Putra Malaysia (UPM) Kampus Bintulu dan Insitut Kemahiran Belia Negara (IKBN) Miri,” menurut kenyataan itu.
MSN memaklumkan, antara isu lain yang diputuskan oleh Jawatankuasa Tertinggi Sukma ialah sejumlah 108 pertindihan pendaftaran atlet telah diselesaikan MSN dan Sekretariat SUKMA Sarawak 2024, menerusi persetujuan bersama di antara Kontinjen Negeri yang terlibat.
Sekretariat Sarawak turut menetapkan Detik 100 Hari menjelang SUKMA Sarawak 2024 yang akan berlangsung pada 9 Mei dan disempurnakan oleh Premier Sarawak.