KUALA LUMPUR: Sultan Selangor Sultan Sharafuddin Idris Shah memberi perkenan agar sambutan Ulang Tahun dan Perbarisan Sempena Hari Tentera Laut Diraja Malaysia (TLDM) ke-90 yang sepatutnya dijadualkan pada Jumaat ini dibatalkan.
Keputusan itu dibuat susulan tragedi menyayat hati dua helikopter milik Tentera Laut Diraja Malaysia (TLDM) yang terhempas di Lumut, Perak pada Selasa pagi.
Menerusi hantaran di laman Facebook Selangor Royal Office, satu majlis bacaan Yasin dan tahlil doa selamat akan diadakan bagi menghormati pemergian 10 wira-wira negara yang terkorban.
Sultan Selangor yang juga Kapten Yang Dipertua TLDM turut berkenan berangkat ke majlis itu yang bertempat di Masjid An-Nur, Pangkalan TLDM, Lumut sebelum solat Jumaat.
Terdahulu, kedua-dua pesawat jenis Helikopter Operasi Maritim (HOM-AW139) dan helikopter Fennec Tentera Udara Diraja Malaysia (TLDM) itu berlepas dari Padang Sitiawan pada jam 9.03 pagi, sebelum kedua-duanya bertembung ketika menyertai formasi penerbangan.
Susulan pertembungan itu, pesawat HOM yang dinaiki tujuh kru terhempas di Stadium TLDM Lumut, manakala pesawat Fennec yang membawa tiga lagi individu terhempas di kolam renang Kompleks Sukan TLDM Lumut.
TLDM mengesahkan bahawa, 10 kru iaitu masing-masing tujuh kru HOM TLDM dan tiga kru Fennec TLDM terkorban di lokasi kejadian, manakala mayat mereka dihantar ke Hospital Angkatan Tentera Pangkalan TLDM Lumut untuk proses pengecaman.