MENTERI Pelaburan, Perdagangan dan Industri, Tengku Datuk Seri Zafrul Tengku Abdul Aziz akan membuat permohonan kepada Mahkamah Tinggi untuk meminta kebenaran bagi memfailkan afidavitnya untuk memperbetulkan beberapa kesilapan fakta dalam afidavit tambahan yang diikrarkan oleh Timbalan Perdana Menteri, Datuk Seri Ahmad Zahid Hamidi.
Susulan afidavit yang difailkan Ahmad Zahid yang turut mengaitkan namanya, Tengku Zafrul berkata, beliau sudah mengambil langkah mendapatkan nasihat undang-undang yang sesuai berhubung perkara berkaitan.
“Saya ingin menyatakan secara rasmi bahawa pada hari ini saya sudah melihat Afidavit Tambahan No. 3 yang diikrarkan Datuk Seri Dr Ahmad Zahid Hamidi pada 9 April 2024 dalam prosiding undang-undang yang dimulakan oleh Datuk Seri Mohd Najib Razak di hadapan Mahkamah Tinggi Kuala Lumpur melalui Prosiding Semakan Kehakiman No. WA-25-136-04/2024.
“Sehubungan itu, saya mengambil langkah untuk mendapatkan nasihat undang-undang yang sesuai dan akan membuat permohonan kepada Mahkamah Tinggi untuk meminta kebenaran bagi memfailkan afidavit saya untuk memperbetulkan beberapa kesilapan fakta yang terkandung dalam afidavit berkenaan.
“Pendirian saya bukan untuk mempertikaikan merit isu yang sedang berlangsung. Saya hanya ingin memastikan bahawa fakta sebenar direkodkan dengan betul supaya semua pihak, khususnya Mahkamah Tinggi, dapat menilai kesemua fakta material dengan sewajarnya,” katanya menerusi kenyataan media pada Rabu.
Menurutnya lagi, tindakan yang dibuat itu bagi membolehkan keputusan yang adil dan saksama dibuat demi kepentingan semua pihak yang terlibat.
Awal hari ini, Ahmad Zahid, yang juga merupakan Presiden UMNO mendakwa, beliau diberitahu mengenai kewujudan Titah Adendum atau tambahan Yang di-Pertuan Agong ke-16, supaya Najib menghabiskan baki hukuman penjara dengan tahanan di rumah oleh Tengku Zafrul.
Menurut Ahmad Zahid, Tengku Zafrul menunjukkan Titah Adendum itu pada telefonnya yang beliau ambil gambar dan imbas sendiri daripada salinan asal seperti ditunjukkan kepadanya oleh Yang di-Pertuan Agong ke-16.