SYARIKAT tenaga Perancis, TotalEnergies menyatakan komitmen dan bersetuju untuk mempertingkatkan pelaburan dalam sektor huluan minyak dan gas, serta terus meneroka peluang dalam bidang penyimpanan karbon di Malaysia.
Menurut Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim, perkara itu dinyatakan oleh Pengerusi dan Ketua Pegawai Eksekutif TotalEnergies, Patrick Pouyanne.
Anwar berkata, beliau memenuhi jemputan Pouyanne untuk bertemu di sela Mesyuarat Khas Forum Ekonomi Sedunia (WEF), di Riyadh, Arab Saudi.
“TotalEnergies telah bertapak sejak 1984 di Malaysia dan memiliki pelaburan dalam pelbagai sektor di Malaysia, antaranya tenaga boleh diperbaharui, elektrik, minyak dan penyimpanan karbon.
“Semoga pelaburan ini dapat direalisasikan sesegera mungkin dan mencetus limpahan kemakmuran buat rakyat Malaysia, khususnya dalam mewujudkan lebih banyak peluang pekerjaan dan perkongsian pengetahuan,” katanya menerusi hantaran di laman Facebook pada Isnin.
Perdana Menteri mengadakan lawatan kerja ke Riyadh sempena Mesyuarat Khas WEF mulai 27 April hingga 29 April ini.
Kehadiran Perdana Menteri adalah atas jemputan Putera Mahkota merangkap Perdana Menteri Arab Saudi, Putera Mohammed Salman Abdulaziz Al-Saud.
Menerusi hantaran berasingan, Anwar berkata, beliau dan delegasi Malaysia turut mengadakan mesyuarat meja bulat bersama lebih 50 pemimpin industri dan perniagaan pelbagai sektor dari seluruh dunia pada WEF itu.
Turut bersama menyertai mesyuarat itu adalah Menteri Luar Negeri, Datuk Seri Mohamad Hasan; dan Menteri Pelaburan, Perdagangan dan Industri, Tengku Datuk Seri Zafrul Tengku Abdul Aziz.
Anwar berkata, ruang itu digunakannya untuk memaparkan keutamaan, inisiatif strategik serta kadar pertumbuhan ekonomi dan fiskal negara, selain kewujudan peluang-peluang perdagangan dan pelaburan.
Jelasnya, sesi tersebut adalah sangat penting buat beliau dan rakan-rakan dalam meyakinkan pemimpin industri untuk melabur di Malaysia, sekali gus melonjak pertumbuhan ekonomi negara serta mencipta peluang pekerjaan berkemahiran tinggi buat rakyat Malaysia.
“Ramai pemimpin industri dan perniagaan yang hadir menunjukkan keyakinan terhadap prospek pertumbuhan ekonomi dan kestabilan politik negara, dengan menyatakan minat untuk melabur di Malaysia dalam pelbagai bidang.
“Saya beri jaminan urusan pelaburan mereka akan dipermudah dan disegerakan, terutama selepas kerajaan berjaya menangani isu kerenah birokrasi yang berlanjutan sejak sekian lama sebelum ini.
“Saya percaya lebih banyak pelabur-pelabur bernilai tinggi akan memilih Malaysia sebagai destinasi pelaburan, mengikut jejak langkah syarikat-syarikat gergasi seperti Tesla, AWS, Infineon dan NVIDIA,” katanya.
Antara syarikat yang menyertai sesi tersebut termasuk Samsung, Chevron, BrainBox AI, Cisco Systems, OmniBot.ai, TotalEnergies, Lulu Group International, Deutsche Bank dan Saudi Industrial Development Fund.