NEGARA berdukacita dengan tragedi yang menyayat hati dan meruntun jiwa membabitkan nahas dua helikopter di Pangkalan Tentera Laut Diraja Malaysia (TLDM) Lumut, Perak pada Selasa.
Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim tampil mengucapkan takziah kepada semua keluarga mangsa yang terkorban, dengan doa agar diberi kekuatan dalam menghadapi musibah tersebut .
“Tragedi ini ternyata memberi kesan yang mendalam kepada keluarga Angkatan Tentera Malaysia (ATM) dan kehilangan besar buat negara.
“Saya dimaklumkan satu siasatan segera akan dijalankan Kementerian Pertahanan khususnya TLDM untuk mencari punca nahas.
“Mendoakan semoga roh semua yang terkorban dicucuri rahmat dan diampunkan segala dosa mereka. Semoga Tuhan mengasihi mereka dan memberi tempat dan kedudukan yang istimewa di sisiNya,” katanya menerusi hantaran di laman Facebook pada Selasa.
Terdahulu, TLDM akan menubuhkan lembaga siasatan bagi mengenal pasti punca kejadian maut melibatkan dua buah helikopter miliknya.
Pada masa sama, TLDM turut mengesahkan kesemua kru yang terlibat dalam kemalangan udara berkenaan terkorban di tempat kejadian dan dihantar ke Hospital Angkatan Tentera Pangkalan TLDM Lumut untuk proses pengecaman.
TLDM memohon orang ramai untuk tidak menularkan video kejadian demi menjaga sensitiviti keluarga dan proses siasatan.