HomeBerita2 mangsa terselamat nahas pesawat terhempas di Sungkai

2 mangsa terselamat nahas pesawat terhempas di Sungkai

PIHAK Berkuasa Penerbangan Awam Malaysia (CAAM) mengesahkan sebuah pesawat Cessna 172N Skyhawk dengan nombor pendaftaran 9M-ADA, terhempas di Felda Gunung Besout, dekat Sungkai, Perak pada Sabtu.

Ketua Pegawai Eksekutif CAAM, Datuk Kapten Norazman Mahmud berkata, pesawat dikendalikan oleh Akademi Penerbangan Layang-Layang yang dinaiki oleh dua individu itu berlepas dari Lapangan Terbang Sultan Azlan Shah, Ipoh pada jam 7.54 pagi.

Beliau berkata, Pusat Kawalan Trafik Udara Kuala Lumpur (KLATCC) menerima panggilan terakhir di Slim River pada jam 9.35 pagi.

“Tindakan susulan telah diambil oleh Pegawai Kawalan Trafik Udara bertugas, setelah pesawat gagal melaporkan kedudukan selanjutnya di Bidor,” katanya dalam kenyataan pada Sabtu.

Pada masa sama, Norazman berkata, Pusat Koordinasi Menyelamat Aeronautika Kuala Lumpur (KLARCC) CAAM di KLATCC telah diaktifkan pada jam 10.15 pagi setelah menerima maklumat berkenaan nahas tersebut.

Katanya, pengaktifan itu adalah bagi tujuan koordinasi operasi mencari dan menyelamat, manakala kedua-dua individu berkenaan telah diselamatkan.

“Siasatan lanjut akan dilaksanakan Biro Siasatan Kemalangan Udara (BSKU) di bawah Kementerian Pengangkutan mengikut Bahagian XXVI Peraturan-Peraturan Penerbangan Awam 2016,” katanya.

Terdahulu, video memaparkan detik-detik ketika pesawat tersebut sudah terhempas tular di aplikasi WhatsApp.

Sementara itu, kedua-dua mangsa yang terlibat dalam nahas itu merupakan jurulatih penerbangan dan pelatih.

Kedua-dua mangsa yang disahkan selamat itu, Kapten Shahrul Imran, 26, mengalami patah paha kiri, manakala pelatih tersebut pula, Le Ho Jia, 20, cedera di muka akibat kemalangan tersebut.

Pengarah Bomba dan Penyelamat Perak, Sayani Saidon dalam kenyataan berkata, pihaknya menerima panggilan mengenai kejadian tersebut kira-kira jam 9.46 pagi.

Menurutnya, sepasukan anggota dari Balai Bomba dan Penyelamat (BBP) Slim River, dibantu anggota daripada BBP Bidor dan BBP Tanjung Malim bergegas ke lokasi kejadian.

Katanya, kedua-dua mangsa berjaya dikeluarkan dari lokasi nahas dan dihantar ke hospital untuk rawatan lanjut.

 

Author

Pilihan Editor