HomeBerita28 permit ceramah, 25 permit PRK Kuala Kubu Baharu lulus

28 permit ceramah, 25 permit PRK Kuala Kubu Baharu lulus

POLIS meluluskan sebanyak 28 permit ceramah dan 25 permit kempen setakat ini bagi kempen Pilihan Raya Kecil (PRK) Dewan Undangan Negeri (DUN) Kuala Kubu Bharu (KKB) yang bermula 27 April lepas.

Ketua Polis Daerah Hulu Selangor, Superintendan Ahmad Faizal Tahrim berkata, kempen yang dilaksanakan parti-parti yang bertanding juga berlangsung dalam keadaan harmoni, teratur dan terkawal.

“Bagi memastikan setiap kempen atau ceramah yang dijalankan mematuhi undang-undang ditetapkan, Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Hulu Selangor telah membuat pemantauan di setiap kawasan kempen atau ceramah diadakan.

“Pihak polis meminta supaya situasi berkempen secara sihat ini dikekalkan sehingga tempoh akhir berkempen,” katanya dalam kenyataan.

Suruhanjaya Pilihan Raya (SPR) menetapkan tempoh berkempen selama 14 hari bermula selepas pengisytiharan calon yang bertanding sehingga 11.59 malam, 10 Mei.

Dalam pada itu, Ahmad Faizal berkata, polis juga telah membuka satu kertas siasatan mengikut Seksyen 4(A) Akta Kesalahan Pilihan Raya 1954 dan Seksyen 233 Akta Komunikasi dan Multimedia 1998, selain menerima tiga laporan polis berkaitan pilihan raya.

Ahmad Faizal turut menasihatkan semua calon dan kumpulan penyokong supaya menghormati dan mematuhi undang-undang yang telah ditetapkan, selain tidak membuat sebarang provokasi serta perkara yang boleh menggugat keselamatan dan ketenteraman awam.

“Mana-mana pihak boleh merujuk kepada polis untuk tindakan selanjutnya sekiranya ada sebarang permasalahan,” katanya.

PRK berkenaan yang menyaksikan pertandingan empat penjuru membabitkan Pang Sock Tao (Pakatan Harapan), Khairul Azhari Saut (Perikatan Nasional), Hafizah Zainuddin (Parti Rakyat Malaysia) dan Nyau Ke Xin Bebas), diadakan susulan kematian penyandangnya, Lee, 58, pada 21 Mac lepas, akibat kanser.

SPR menetapkan 11 Mei ini sebagai hari mengundi, manakala pengundian awal pada 7 Mei.

 

Author

Pilihan Editor