HomeBerita'Insiden babit Faisal Halim melampau, tidak berperikemanusiaan'

‘Insiden babit Faisal Halim melampau, tidak berperikemanusiaan’

DATUK Seri Dr Zulkifli Mohamad Al-Bakri menegaskan bahawa, kes cecair dipercayai asid membabitkan tonggak skuad kebangsaan, Faisal Halim tidak patut dibiarkan berulang walau apa jua alasan diberikan.

Malah, bekas Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Hal Ehwal Agama) itu menyifatkan insiden berkenaan sebagai tidak berperikemanusiaan, melampau dan tidak beradab.

Beliau berkata, persaingan dengan pasukan lawan dalam arena sukan adalah semata-mata di dalam gelanggang.

“Sukan wajar kekal hanya sebagai sukan. Saat melangkah keluar selepas permainan, segala emosi terlebur dan jadilah kita tetap bersaudara,” katanya dalam kenyataan pada Selasa.

Faisal dilaporkan kritikal ketika ini selepas melecur tahap empat akibat disimbah cecair dipercayai asid, dalam kejadian di sebuah pusat beli-belah dekat Damansara, Petaling Jaya, Selangor pada Ahad lalu.

Timbalan Presiden Persatuan Bolasepak Selangor (FAS), Datuk Seri Shahril Mokhtar dilapor memaklumkan bahawa, tangan kiri pemain sayap itu sukar untuk bergerak, sekali gus menimbulkan persoalan mengenai masa depannya kelak.

Mengulas lanjut, Zulkifli berkata, aksi Faisal pada edisi Piala Asia Qatar 2023 masih segar dalam ingatannya, apabila pemain itu berjaya menjaringkan gol ketika menentang Korea Selatan.

Beliau berkata, kelincahan menggelecek dan ketajaman penyudah pemain itu mengingatkannya kepada legenda bola sepak negara, Allahyarham Datuk Mokhtar Dahari.

“Perjuangan beliau untuk terus berbakti mengharumkan nama pasukan Harimau Malaya masih panjang.

“Kepada saudara Faisal, setiap apa yang berlaku telah ditentukan dalam takdirNya. Saya yakin, ada hikmah yang tersembunyi selama kita bersabar, muhasabah dan redha dengan apa yang berlaku, insyaAllah. Saya sayang anda semata-mata kerana Allah.

“Saya juga mengajak seluruh rakyat Malaysia bersama-sama mendoakan kesembuhan dan kesejahteraan serta mengirimkan kata-kata semangat buat beliau,” katanya.

Terdahulu, seorang suspek yang disyaki terlibat dalam kes simbah cecair dipercayai asid membabitkan Faisal sudah pun ditahan di Bandar Baru Bangi, Kajang pada Isnin.

Ini sekali gus menyaksikan jumlah tangkapan berhubung kes itu setakat ini adalah seramai dua orang.

Suspek pertama disyaki terbabit dalam kejadian serangan itu ditahan di Pandan Indah, dekat Ampang, Kuala Lumpur pada Ahad.

 

Author

Pilihan Editor