HomeBeritaJAKIM wujud talian khas terima aduan hina Islam - Mohd Na'im

JAKIM wujud talian khas terima aduan hina Islam – Mohd Na’im

JABATAN Perdana Menteri (Hal Ehwal Agama) melalui agensi Jabatan Kemajuan Islam Malaysia (JAKIM) mewujudkan talian khas, untuk menerima aduan berkaitan isu penghinaan terhadap agama Islam termasuk di media sosial.

Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Hal Ehwal Agama), Datuk Dr Mohd Na’im Mokhtar, orang awam boleh membuat aduan serta laporan berkaitan sebarang isu berkenaan menerusi aplikasi WhatsApp, 017-3234533 atau emel aduan@islam.gov.my.

Mohd Na’im berkata, Jabatan Perdana Menteri (Hal Ehwal Agama) secara konsisten memberikan penegasan akan sentiasa memelihara kesucian serta ketinggian agama Islam.

“Mana-mana pihak yang didapati melakukan apa-apa tindakan menghina Islam perlulah dibawa ke muka pengadilan sebagai pengajaran kepada semua pihak,” katanya dalam kenyataan pada Khamis.

Jelasnya, JAKIM sudah pun diminta untuk bekerjasama dengan Jabatan Agama Islam Negeri-Negeri (JAIN), Polis Diraja Malaysia (PDRM), Suruhanjaya Komunikasi Multimedia Malaysia (SKMM) serta lain-lain pihak berkaitan untuk menangani isu penghinaan kepada agama Islam.

Pada masa sama, beliau menyeru semua pihak untuk sentiasa bertanggungjawab bagi memelihara perpaduan dan keharmonian dalam negara.

“Apa-apa bentuk provokasi dan tindakan ekstrem perlu dihentikan.

“Perpaduan adalah nikmat yang perl dipertahankan demi mencapai cita-cita Membangun Malaysia Madani,” katanya.

 

Author

Pilihan Editor