RAPID Rail Sdn Bhd (Rapid Rail) selaku pengendali perkhidmatan pengangkutan awam rel, Rapid KL memperkenalkan mod pembayaran baharu melalui penggunaan kad debit atau kredit di semua kaunter khidmat pelanggan mulai Selasa.
Rapid Rail dalam kenyataan pada Rabu memaklumkan, kaedah pembayaran baharu itu yang merupakan platform tambahan daripada pembayaran sedia ada, bertujuan memberi kemudahan dan meningkatkan kecekapan proses pembelian kepada pengguna Rapid KL.
Menurut Rapid Rail, pengenalan mod pembayaran baharu itu juga sejajar dengan komitmen Rapid Rail untuk sentiasa menambah baik sistem pembelian yang sedia ada, selain memenuhi keperluan pengguna bagi memberi pengalaman positif kepada penumpang ketika menggunakan perkhidmatan Rapid KL.
“Pengguna transit aliran ringan (LRT), transit aliran massa (MRT), monorel dan bas rapid transit (BRT) kini mempunyai fleksibiliti untuk menggunakan kad debit atau kredit bagi transaksi membeli token, menambah nilai kad Touch ‘n Go, dan melanggan pas perjalanan My50 atau MyCity.
“Dengan pilihan pembayaran baharu ini, pengguna tidak perlu risau untuk membawa wang tunai atau mencari mesin juruwang automatik (ATM) kerana ia dapat memberi transaksi yang lebih selamat dan lancar.
“Mod pembayaran baharu ini turut tersedia untuk Kaunter Pendaftaran Kad Konsesi Rapid KL di Hab Pasar Seni dan Stesen MRT Conlay,” menurut kenyataan itu.
Pada masa sama, Rapid Rail memaklumkan, pembelian token masih boleh dilakukan di mesin tiket stesen, namun pengguna digalakkan untuk memanfaatkan sepenuhnya mod pembayaran baharu supaya dapat merasai kemudahan baharu yang ditawarkan itu.