HomeBeritaKes pemain bola sepak disimbah asid, lelaki direman 2 hari

Kes pemain bola sepak disimbah asid, lelaki direman 2 hari

POLIS menahan seorang individu berusia lingkungan 20-an, bagi membantu siasatan kes pemain bola sepak kebangsaan disimbah asid di sebuah pusat beli-belah di Kota Damansara, dekat Petaling Jaya, Selangor pada Ahad.

Menurut Ketua Polis Negara, Tan Sri Razarudin Husain, tahanan terhadap lelaki pada Ahad malam itu dibuat berdasarkan nombor pendaftaran sebuah motosikal yang digunakan dalam kejadian tersebut.

Razarudin berkata, lelaki terbabit ditahan di Pandan Indah, dekat Ampang, Selangor oleh sepasukan polis dari Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Petaling Jaya dan direman selama dua hari.

“Lelaki tu dikesan berdasarkan dapatan siasatan di lokasi kejadian di Petaling Jaya, iaitu nombor pendaftaran motosikal jenis Yamaha yang digunakannya ketika kejadian.

“Setakat ini, kita masih menyiasat motif kejadian,” kata Razarudin seperti dilapor Bernama.

Mengulas lanjut, Razarudin berkata, setakat ini pihaknya telah merakam keterangan daripada tiga individu termasuk mangsa, manakala beberapa individu lain akan dipanggil pada Isnin untuk dirakam keterangan bagi membantu siasatan.

Pada Ahad, pemain sayap pasukan Selangor FC, Faisal Halim mengalami kecederaan pada badan dipercayai akibat disembah asid dan dibawa ke sebuah hospital swasta di Petaling Jaya serta keadaannya dilaporkan stabil.

Susulan itu, polis membuka kertas siasatan mengikut Seksyen 326 Kanun Keseksaan.

Sementara itu, Razarudin turut menafikan kejadian yang menimpa Faisal dan pemain Terengganu FC, Akhyar Rashid mempunyai kaitan dengan pengendali pertaruhan (bookie) yang mengatur keputusan perlawanan.

“Seperti yang saya tegaskan mana-mana pihak untuk tidak mereka-reka cerita yang tidak benar sehingga siasatan dijalankan…beri kami ruang dan masa untuk siasatan berhubung kes ini dilaksanakan,” katanya.

Khamis lalu, Akhyar diserang sebelum disamun di Kuala Terengganu, Terengganu.

Akhyar dikatakan dipukul menggunakan senjata tumpul di kepalanya sehingga menyebabkan pemain berkenaan mengalami kecederaan.

 

Author

Pilihan Editor