HomeBeritaKewangan Islam antara bidang kerjasama Malaysia-Senegal

Kewangan Islam antara bidang kerjasama Malaysia-Senegal

MALAYSIA dan Senegal gembira dengan hubungan baik dan mesra antara kedua-dua negara, serta bersetuju untuk bekerjasama erat demi kepentingan bersama, menurut Kementerian Luar.

Wisma Putra memaklumkan, bidang yang dikenal pasti bagi kerjasama yang diperdalamkan itu termasuk perdagangan, pertanian, pendidikan, tenaga boleh diperbaharui, industri halal, kewangan Islam, wakaf dan zakat, penjagaan kesihatan dan pendigitalan.

Menurut kenyataan itu, perjanjian berkenaan adalah hasil perbincangan Menteri Luar, Datuk Seri Mohamad Hasan dengan rakan sejawatnya, Yassine Fall semasa lawatan rasmi dua hari ke Senegal, pada Selasa.

“Lawatan pertama ke Senegal oleh Menteri Luar Malaysia sejak Malaysia dan Senegal menjalinkan hubungan diplomatik pada 1986. Kedua-dua pemimpin membincangkan hubungan dua hala Malaysia-Senegal serta isu global yang menjadi perhatian bersama.

“Menteri Luar juga telah mengadakan kunjungan hormat ke atas Presiden Senegal, Bassirou Diomaye Diakhar Faye. Pertemuan itu memberi peluang untuk Malaysia mengulangi komitmen dalam mengukuhkan ikatan persahabatan di antara kedua-dua negara,” menurut kenyataan Wisma Putra pada Selasa.

Wisma Putra memaklumkan, Mohamad turut berkesempatan bertemu diaspora Malaysia di Dakar serta alumni Program Kerjasama Teknikal Malaysia (MTCP).

“Lawatan Mohamad ke Senegal menegaskan komitmen Malaysia untuk mengekalkan hubungan dua hala yang kukuh dengan Senegal serta memajukan kerjasama antara kedua-dua negara di forum pelbagai hala.

“Ia juga membuka peluang untuk memperluas kerjasama kedua-dua negara dalam tahun-tahun akan datang,” menurut kenyataan itu.

Pada 2023, Senegal adalah rakan dagang ke-15 terbesar Malaysia di Afrika, dengan nilai dagangan bernilai RM1.04 bilion (AS$227.49 juta), peningkatan 16 peratus berbanding jumlah dagangan pada 2022.

Author

Pilihan Editor