HomeBeritaLelaki mabuk langgar atlet kayak ditahan

Lelaki mabuk langgar atlet kayak ditahan

POLIS sudah menahan pemandu lelaki mabuk yang menyebabkan atlet kayak Malaysia, Siti Nurul Masyitah Elias, cedera parah dalam kemalangan di Kilometer 3.5 Lebuhraya Penyuraian Trafik Timur (EDL) dekat Johor Bahru, Johor pada Sabtu.

Ketua Polis Daerah Johor Bahru Selatan, Asisten Komisioner Raub Selamat berkata, ujian saringan pernafasan ke atas suspek yang berusia 30-an mendapatinya positif alkohol, manakala ujian air kencing pula bebas daripada sebarang pengaruh dadah.

“Siasatan mendapati, suspek mempunyai tujuh rekod saman trafik yang belum dijelaskan tetapi tidak mempunyai rekod jenayah.

“Kemalangan tersebut berlaku semasa mangsa menunggang motosikal di Lebuhraya EDL menghala ke Kota Tinggi dilanggar kereta Toyota Vios dipandu suspek dari arah belakang pada jam 4.30 petang Sabtu.

“Kereta suspek dari arah belakang itu mengubah haluan secara tiba-tiba dari lorong tengah ke lorong kiri dan melanggar mangsa,” katanya dalam kenyataan pada Rabu.

Beliau berkata, akibat daripada itu, mangsa yang berusia 22 tahun itu mengalami kecederaan retak bahu kanan, tulang pingggul dan luka di bahagian kaki,  sementara suspek tidak mengalami sebarang kecederaan.

Raub berkata, mangsa kini dirawat di Hospital Colombia Asia di Iskandar Puteri di Johor Bahru.

Tambahnya, suspek diitahan selama 24 jam untuk siasatan dan telah dibebaskan dengan ikat jamin.

Katanya, kes disiasat mengikut Seksyen 44 Akta Pengangkutan Jalan 1987 kerana memandu di bawah pengaruh alkohol sehingga menyebabkan kecederaan.

Jika sabit kesalahan katanya, pelaku boleh dipenjara sehingga minimum tujuh tahun atau maksimum 10 tahun dan denda maksimum RM30,000 atau maksimum RM50,000.

Pihak polis memohon saksi kejadian agar tampil ke balai trafik Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Johor Bahru Selatan atau berhubung dengan Pegawai Penyiasat, Inspektor Kelly Lee Ya Yek 014-6977122.

Terdahulu, Persatuan Pelajar Jabatan Kejuruteraan Mekanikal Politeknik Ibrahim Sultan, Pasir Gudang dalam  kenyataan memberitahu, Siti Nurul Masyitah parah selepas dilanggar dan diseret sejuh 600 meter apabila motosikal ditunggangnya terlibat dalam kemalangan itu.

Menurut persatuan berkenaan, video kemalangan melibatkan Siti Nurul Masyitah yang mengambil jurusan Kejuteraan Mekanikal itu sudah dirakamkan papan pemuka sebuah kereta.

“Menurut saksi berserta rakaman ‘dashcam’, kereta terbabit dipandu dalam keadaan melulu sebelum melanggar Siti Nurul Masyitah yang menunggang motosikal dan kemudiannya menyeret mangsa sejauh 600 meter,” menurut kenyataan tersebut.

Siti Nurul Masyitah merupakan Atlet Kayat Dragon Boat Malaysia Bronze Medal SEA Games 2023.

Hantaran tular dalam media sosial memaparkan beberapa keping gambar ketika kemalangan termasuk foto seorang lelaki, yang didakwa sebagai suspek sedang membuat isyarat ‘peace’.

Author

Pilihan Editor