HomeBeritaMalaysia sokong tindakan Afrika Selatan di ICJ

Malaysia sokong tindakan Afrika Selatan di ICJ

MALAYSIA menyokong tindakan Afrika Selatan memohon Mahkamah Keadilan Antarabangsa (ICJ) menetapkan langkah-langkah sementara tambahan ke atas Israel.

Wisma Putra berkata, sesi pendengaran awam permohonan itu sedang diadakan selama dua hari di Peace Palace, The Hague, Belanda mulai Khamis.

Menurutnya, langkah sementara tambahan itu menetapkan supaya Israel menghentikan serangan ketenteraan di Rafah dengan segera.

“Ia juga akan melicinkan penyaluran bantuan kemanusiaan tanpa halangan dan supaya Israel melaporkan tindakan yang diambil serta pematuhan mengenai perintah langkah-langkah sementara kepada ICJ,” katanya dalam kenyataan pada Jumaat.

Dalam kenyataan sama, katanya, pada 22 Februari lalu, Menteri Luar Negeri, Datuk Seri Mohamad Hasan menyampaikan Kenyataan Lisan Malaysia di Sesi Pendengaran Awam.

“Kenyataan itu berhubung permohonan bagi mendapatkan Pendapat Nasihat Mahkamah Keadilan Antarabangsa mengenai Kesan Perundangan yang timbul daripada Dasar dan Amalan Israel di Wilayah Palestin yang diduduki, termasuk Baitulmaqdis Timur, yang telah diadakan di Peace Palace, The Hague.

“Serangan besar-besaran Israel di Rafah ke atas lebih 1.4 juta rakyat Palestin yang terperangkap dan berlindung di kawasan seluas 64 kilometer persegi, akan mengakibatkan malapetaka kemanusiaan yang besar,” katanya.

Katanya, masyarakat antarabangsa mempunyai tanggungjawab bersama untuk menuntut Israel menghentikan operasi ketenteraannya.

“Malaysia mengulangi pendiriannya bahawa rakyat Palestin berhak mendapatkan negara yang merdeka dan berdaulat, berdasarkan sempadan pra-1967, dengan Baitulmaqdis Timur sebagai ibu negaranya, serta kemasukan Palestin sebagai anggota penuh Pertubuhan Bangsa Bangsa Bersatu (PBB),” katanya.

Author

Pilihan Editor