HomeBeritaPH tak arah jentera guna gambar Agong ketika kempen PRK KKB

PH tak arah jentera guna gambar Agong ketika kempen PRK KKB

PAKATAN Harapan (PH) menegaskan tidak pernah mengarahkan atau membenarkan jenteranya menggunakan gambar Yang di-Pertuan Agong dalam kempen Pilihan Raya Kecil (PRK) Kuala Kubu Baharu.

Pengarah Kempen PH PRK Kuala Kubu Baharu, Ng Sze Han dalam kenyataan pada Isnin berkata, tindakan menggunakan gambar Yang di-Pertuan Agong ketika kempen itu berlangsung adalah tidak wajar dan tidak seharusnya berlaku.

“Sebagai pengarah kempen, saya ingin menegaskan kami tidak pernah mengarah atau membenarkan tindakan tersebut kepada mana-mana petugas PH.

“Pihak kami mengambil maklum tentang siasatan yang dijalankan oleh pihak polis mengenai perkara itu, dan kami bersedia memberi Kerjasama sepenuhnya bagi melengkapkan siasatan,” kata Sze Han yang juga Exco Perdagangan dan Mobliti Selangor.

Terdahulu, media melaporkan P. Ramasamy, 66, dijatuhkan hukuman penjara selama sebulan dan denda RM3,000 oleh Mahkamah Sesyen Hulu Selangor kerana mempamerkan gambar Yang di-Pertuan Agong bersama logo PH pada kenderaan miliknya.

Lelaki warga emas itu dikesan berada di Taman Bukit Bunga, Kuala Kubu Baharu pada jam 5.40 petang Sabtu, sebelum ditahan polis dan kereta pacuan empat roda jenis Mazda miliknya disita.

Polis turut merampas sebuah kenderaan pacuan empat roda, yang dipercayai digunakan dalam kejadian itu. – Media Sosial

Sementara itu, Ketua Polis Daerah Hulu Selangor, Superintendan Ahmad Faizal Tahrim menasihati parti-parti politik supaya tidak memainkan isu sensitif dengan mengeluarkan, mempamerkan dan menyentuh isu institusi diraja, bangsa dan agama (3R).

Menurutnya, tindakan tersebut akan mewujudkan keadaan tidak harmoni dan ketidaktenteraman dalam masyarakat.

Suruhanjaya Pilihan Raya (SPR) menetapkan 11 Mei ini sebagai hari mengundi, manakala pengundian awal pada 7 Mei.

Sementara itu, tempoh kempen PRK Kuala Kubu Baharu adalah selama 14 hari iaitu bermula 27 April hingga 10 Mei ini.

PRK berkenaan yang menyaksikan pertandingan empat penjuru membabitkan Pang Sock Tao (PH), Khairul Azhari Saut (Perikatan Nasional), Hafizah Zainuddin (Parti Rakyat Malaysia) dan Nyau Ke Xin Bebas), diadakan susulan kematian penyandangnya, Lee, 58, pada 21 Mac lepas, akibat kanser.

 

Author

Pilihan Editor