HomeBeritaPokok tumbang: Tiada khidmat monorel di KL Sentral, Medan Tunku

Pokok tumbang: Tiada khidmat monorel di KL Sentral, Medan Tunku

OPERASI laluan monorel mengalami gangguan berikutan kejadian dahan pokok tumbang di atas landasan, berhampiran stesen monorel Raja Chulan di ibu negara pada kira-kira jam 2.20 petang Selasa.

Rapid Rail Sdn Bhd (Rapid Rail) dalam kenyataan pada Selasa memaklumkan, susulan itu, tiada perkhidmatan antara Stesen KL Sentral dan Stesen Medan Tuanku.

Menurut Rapid Rail, pihaknya mengaktifkan perkhidmatan tren antara Titiwangsa dan Medan Tuanku (Platform 1) serta bas perantara pergi dan balik dari KL Sentral ke Medan Tuanku.

“Pihak Rapid KL sedang bekerjasama dengan Dewan Bandaraya Kuala Lumpur (DBKL) untuk menyelesaikan gangguan tersebut secepat mungkin. Buat masa ini, anggota polis dan bomba sedang mengawal keadaan lalu lintas di tempat kejadian,” menurut kenyataan itu.

Selain itu, pengumuman menerusi platform rasmi media sosial Rapid KL dan di semua stesen laluan monorel telah dilakukan untuk makluman penumpang.

Menurut Rapid Rail, sebarang kemas kini akan dimaklumkan secara berkala menerusi saluran media sosial dan aplikasi PULSE.

“Kami memohon maaf di atas gangguan luar jangka ini dan berterima kasih di atas kesabaran penumpang,” menurut kenyataan itu lagi.

Dalam kejadian itu, seorang lelaki tempatan maut manakala seorang lagi cedera, selepas sebatang pokok tumbang menghempap 17 kenderaan dan landasan monorel, berikutan  hujan lebat serta angin kuat di Jalan Sultan Ismail, di ibu negara.

Video memaparkan kejadian pokok tumbang seterusnya mengakibatkan kesesakan lalu lintas itu sempat dirakam oleh orang awam yang berada di lokasi kejadian.

Author

Pilihan Editor