HomeBeritaPolis tahan seorang lagi suspek kes simbah asid Faisal Halim

Polis tahan seorang lagi suspek kes simbah asid Faisal Halim

SEORANG lagi suspek yang disyaki terlibat dalam kes simbah cecair dipercayai asid membabitkan tonggak skuad kebangsaan, Faisal Halim sudah pun ditahan.

Ini sekali gus menyaksikan jumlah tangkapan berhubung kes itu setakat ini adalah dua orang.

Ketua Polis Selangor, Datuk Hussein Omar Khan memaklumkan bahawa, tangkapan terbaharu itu membabitkan seorang lelaki warga tempatan berusia 30-an.

“Dia ditahan di Bandar Baru Bangi, Kajang (Selangor) lewat petang semalam (Isnin).

“Kita akan mendapatkan perintah reman terhadap lelaki itu di Mahkamah Petaling Jaya hari ini (Selasa),” katanya seperti dilapor Utusan Malaysia.

Menurut Hussein, suspek pertama yang direman dua hari sehingga Selasa akan dibebaskan dengan jaminan.

“Bagaimanapun, kita akan tahan semula memandangkan suspek didapati positif dadah,” katanya.

Pada Isnin, seorang lelaki disyaki terbabit dalam kejadian serangan terhadap pemain bola sepak negara itu ditahan di Pandan Indah, dekat Ampang, Kuala Lumpur pada Ahad.

Suspek berusia 20-an itu ditahan berdasarkan nombor pendaftaran sebuah motosikal yang digunakan dalam kejadian berkenaan.

Faisal mengalami kecederaan melecur tahap empat, selepas disimbah asid oleh individu tidak dikenali menyebabkan kecederaan pada muka dan badannya.

Pemain berusia dikatakan diserang ketika berada di sebuah pasar raya terkemuka di Kota Damansara, Petaling Jaya, Selangor pada kira-kira jam 5 petang.

 

Author

Pilihan Editor