PUTRAJAYA – Kementerian Kesihatan (KKM) hari ini mengumumkan pembaharuan dalam perlesenan institusi kesihatan swasta dengan pelancaran sistem aplikasi dalam talian myBRP@CKAPS.
Menteri Kesihatan, Datuk Seri Dr Dzulkefly Ahmad berkata, sistem ini dibangunkan oleh Cawangan Kawalan Amalan Perubatan Swasta (CKAPS) di bawah Akta Kemudahan dan Perkhidmatan Jagaan Kesihatan Swasta 1998 (Akta 586) bagi mempercepatkan proses pengeluaran lesen.
Beliau berkata, fasa pertama melibatkan Modul Pembaharuan Lesen Kemudahan dan Perkhidmatan Jagaan Kesihatan Swasta. Beliau juga menyasarkan penglibatan 120 fasiliti kesihatan swasta dalam usaha meningkatkan kecekapan pemprosesan permohonan serta mempercepatkan proses pengeluaran lesen.
Sistem myBRP@CKAPS akan dibangunkan dalam empat fasa dan dijangka siap sepenuhnya pada tahun 2027. Pemohon digalakkan untuk mendaftarkan diri dalam sistem terlebih dahulu sebelum memulakan proses permohonan di laman sesawang https://www.mybrp.moh.gov.my