HomeBeritaPolis Tegas: Jangan sertai perhimpunan di Putrajaya sabtu ini

Polis Tegas: Jangan sertai perhimpunan di Putrajaya sabtu ini

KUALA LUMPUR: Polis memberi amaran keras kepada orang ramai agar tidak menyertai satu perhimpunan yang dijadualkan berlangsung di Tempat Letak Kereta Awam, berhadapan Kompleks Seri Perdana, Putrajaya Sabtu ini, kerana perhimpunan tersebut tidak mendapat kebenaran daripada pemilik lokasi.

Ketua Polis Kuala Lumpur, Datuk Rusdi Mohd Isa, menyatakan bahawa tindakan tegas akan diambil terhadap mana-mana pihak yang tetap menyertai perhimpunan tersebut, memandangkan ia tidak mendapat kebenaran daripada pemilik tanah, iaitu Perbadanan Putrajaya, seperti yang ditetapkan di bawah Akta Perhimpunan Aman (Akta 736).

Menurut beliau, pihak polis menerima surat pemberitahuan daripada pihak penganjur pada 14 Jun untuk menganjurkan perhimpunan berkenaan, namun pemilik lokasi tidak memberi kebenaran untuk aktiviti tersebut.

“Tuan tanah (Perbadanan Putrajaya) tidak membenarkan perhimpunan tersebut dan kami menasihati penganjur yang menggelar diri mereka ‘Demi Negara’ agar tidak meneruskan perhimpunan ini.

“Jika mereka masih berkeras untuk meneruskannya, polis akan menempatkan anggota di kawasan perhimpunan,” kata beliau dalam Sidang Media Ketua Polis Kuala Lumpur di Ibu Pejabat Polis Daerah Brickfields, di sini, hari ini.

Rusdi turut memaklumkan bahawa pihaknya mengesan satu video tular berdurasi 3 minit 41 saat di aplikasi TikTok yang mengajak orang ramai menyertai perhimpunan berkenaan dan polis sedang menyiasat individu yang menyokong perhimpunan itu.

Beliau menyatakan bahawa polis telah menerima 85 laporan berkaitan isu tersebut dan telah membuka satu kertas siasatan di bawah Seksyen 505(b) Kanun Keseksaan dan Seksyen 233 Akta Komunikasi dan Multimedia 1998.

Orang ramai dinasihati agar mematuhi arahan pihak berkuasa demi menjaga ketenteraman awam dan mengelakkan sebarang tindakan yang boleh dikenakan undang-undang.

Author

Pilihan Editor