JOHOR BAHRU – Seorang pengasuh telah ditahan reman bagi membantu siasatan berhubung kes seorang bayi perempuan berusia dua bulan yang disyaki didera sehingga mengalami patah kaki kiri di Bandar Dato Onn.
Ketua Polis Daerah Johor Bahru Selatan, Asisten Komisioner Raub Selamat, menyatakan bahawa pengasuh wanita berusia 36 tahun itu ditahan reman selama enam hari bermula Selasa sehingga Ahad.
“Polis menahan pengasuh tersebut selepas ibu bapa bayi berkenaan membuat laporan polis pada petang Ahad lalu.
“Kes ini sedang disiasat di bawah Seksyen 31(1)(a) Akta Kanak-Kanak 2001,” katanya ketika dihubungi pada hari Rabu.
Sebelum ini, perkongsian di media sosial oleh ibu bayi berkenaan menjadi tular, di mana beliau menyedari ada sesuatu yang tidak kena dengan anaknya selepas mengambilnya pada hari Sabtu lalu.
Menurutnya, ketika menukar lampin bayi, bapa mangsa ternampak kesan bengkak pada paha kiri bayi tersebut dan mendapati anaknya tidak aktif serta kurang minum susu.