PUTRAJAYA – Mahkamah Rayuan hari ini memutuskan enam bekas pelajar Universiti Pertahanan Nasional Malaysia (UPNM) bersalah atas kesalahan membunuh Pegawai Kadet Laut Zulfarhan Osman Zulkarnain tujuh tahun lalu, dan memerintahkan mereka dihukum gantung sampai mati.
Keputusan tersebut dibuat oleh panel tiga hakim Mahkamah Rayuan yang dipengerusikan oleh Hakim Datuk Hadhariah Syed Ismail, bersama-sama dengan Hakim Mohamed Zaini Mazlan dan Datuk Azmi Ariffin, selepas membenarkan rayuan silang pendakwaan untuk menghidupkan semula tuduhan di bawah Seksyen 302 Kanun Keseksaan.
Enam bekas pelajar tersebut adalah Muhammad Akmal Zuhairi Azmal, Muhammad Azamuddin Mad Sofi, Muhammad Najib Mohd Razi, Muhammad Afif Najmudin Azahat, Mohamad Shobirin Sabri, dan Abdoul Hakeem Mohd Ali.
Mahkamah Tinggi Kuala Lumpur pada 2 November 2021 telah mendapati kesemua tertuduh bersalah dengan niat menyebabkan kecederaan kepada Zulfarhan tanpa niat membunuh, mengikut Seksyen 304(a) Kanun Keseksaan, dan menjatuhkan hukuman penjara selama 18 tahun.
Mereka pada asalnya didakwa di bawah Seksyen 302 Kanun Keseksaan yang memperuntukkan hukuman mati mandatori, manakala Abdoul Hakeem didakwa bersubahat. Walau bagaimanapun, mahkamah telah meminda tuduhan kepada Seksyen 304.
Seksyen tersebut memperuntukkan hukuman penjara hingga 30 tahun dan denda jika perbuatan itu dilakukan dengan niat untuk menyebabkan kematian.
Kesemua mereka didakwa melakukan perbuatan tersebut di sebuah bilik di blok penginapan Asrama Jebat, UPNM antara jam 4.45 pagi dan 5.45 pagi, pada 22 Mei 2017.
Zulfarhan meninggal dunia di Hospital Serdang pada 1 Jun 2017.
Menurut Hadhariah, di bawah Akta Pemansuhan Hukuman Mati Mandatori 2023 yang berkuat kuasa pada 16 Mac 2023, hukuman yang boleh dikenakan bagi kesalahan bunuh ialah hukuman gantung sampai mati atau hukuman penjara tidak kurang daripada 30 tahun dan tidak lebih daripada 40 tahun serta tidak kurang daripada 12 sebatan.
Beliau berkata, mahkamah mendapati faktor yang memberatkan hukuman ke atas tertuduh ialah, mangsa seorang yang tidak bersalah dan perbuatan tertuduh sangat kejam di mana mangsa diikat kaki dan tangan ketika mereka menekap seterika panas ke badannya.
Katanya, sebelum diseterika, mangsa telah dipukul beramai-ramai.
“Walaupun tertuduh melihat mangsa menggelupur kesakitan, mereka tetap meneruskan perbuatan menekap seterika ke atas hampir keseluruhan badan mangsa sehingga mengakibatkan 90 kesan lecur.
“Walaupun tertuduh mendengar mangsa menjerit kesakitan, mereka teruskan juga perbuatan tersebut.
“Perbuatan tertuduh menekap seterika di seluruh bahagian badan mangsa termasuk di kemaluan menunjukkan mereka berniat jahat, zalim, tidak berperikemanusiaan serta tanpa ada rasa belas kasihan,” katanya.
Hakim itu berkata, selepas diseksa dengan seterika panas, tertuduh menyembunyikan mangsa untuk mengelakkan perbuatan jenayah mereka diketahui pihak atasan.
Beliau berkata, tertuduh juga tidak membawa mangsa ke Hospital Serdang untuk mendapatkan rawatan walaupun dinasihatkan oleh saksi pendakwaan ketujuh, iaitu Pegawai Perubatan Klinik As-Salam Bandar Baru Bangi, Dr Azfar Hussin, dan surat rujukan ke hospital juga telah diberikan.
Katanya, tertuduh juga menyalahkan mangsa dalam kejadian itu sedangkan hakikat yang sebenarnya ialah semua masalah ini berpunca daripada perbuatan jahat mereka.
Sementara itu, panel tiga hakim tersebut mengetepikan hukuman penjara tiga tahun ke atas 12 lagi bekas pelajar universiti sama kerana mencederakan Zulfarhan dan menggantikan hukuman itu dengan penjara empat tahun.
Mereka ialah Mohd Hafiz Fauzan Ismail, Mohamad Lukhmanul Hakim Mohd Zain, Ahmad Shafwan Berdal, Muhammad Amirul Asraff Mala, Luqman Hakim Shamsuri Agus, Muhammad Sufi Mohd Mustapha, Noriznan Izzairi Noor Azhar, Muhamad Ashraf Abdullah, Muhammad Danial Firdaus Azmir, Muhammad Hasif Ismail, Muhammad Adib Iman Fuad Ady Sani dan Mohamad Syazwan Musa.
Mereka didapati bersalah atas pertuduhan dengan sengaja menyebabkan kecederaan terhadap Zulfarhan untuk mendapatkan pengakuan bahawa dia mencuri komputer riba, mengikut Seksyen 330 Kanun Keseksaan dan dibaca bersama Seksyen 34 kanun yang sama yang membawa hukuman maksimum penjara tujuh tahun dan denda.
Semua mereka yang kini berusia 28 tahun didakwa melakukan perbuatan itu di dua bilik, blok penginapan asrama Jebat, UPNM antara 21 dan 22 Mei 2017.
Jenayah Kejam Paling Jarang Ditemui – Hakim
Mahkamah Rayuan menyifatkan pembunuhan Zulfarhan Osman tujuh tahun lalu, sebagai jenayah kekejaman yang paling jarang ditemui.
Tertuduh Pertama hingga Keenam Punca Jenayah
Hakim Datuk Hadhariah Syed Ismail yang mempengerusikan panel tiga hakim bersama-sama Hakim Mohamed Zaini Mazlan dan Datuk Azmi Ariffin, berkata kejadian itu berpunca daripada perbuatan tertuduh pertama hingga keenam.