HomeSukanKeselamatan kontinjen Malaysia keutamaan utama - Hamidin

Keselamatan kontinjen Malaysia keutamaan utama – Hamidin

KUALA LUMPUR: Ketua kontinjen Malaysia ke Sukan Olimpik Paris 2024, Datuk Hamidin Mohd Amin menekankan bahawa keselamatan setiap anggota kontinjen negara adalah keutamaan utama sepanjang usaha memburu pingat emas di Perancis.

Dalam situasi negara tuan rumah berdepan dengan pelbagai ancaman keselamatan, Datuk Hamidin menegaskan bahawa Sekretariat Kontinjen dalam Perkampungan Atlet di St Ouen-sur-Seine sentiasa mengemaskini maklumat keselamatan daripada pusat khidmat NOC.

Selain itu, mereka juga sentiasa mendapatkan nasihat dan maklumat terkini daripada Kedutaan Malaysia di Paris mengenai langkah berjaga-jaga di sekitar lokasi strategik serta venue pertandingan dan latihan.

“Sebagai ketua kontinjen Malaysia, saya mengingatkan sekretariat untuk mendapatkan nasihat dan maklumat terkini berhubung langkah-langkah berjaga yang dilaksanakan oleh pihak penganjur. Maklumat yang dikumpul adalah penting untuk pengurusan keselamatan kontinjen yang teratur dan terjamin.

“Di pihak kami, kami menasihatkan semua atlet dan jurulatih untuk mematuhi prosedur operasi standard (SOP) yang ditetapkan, khususnya dalam penggunaan pengangkutan, pergerakan di dalam dan di luar perkampungan sukan serta sekitar venue latihan dan pertandingan.

“Walaupun pihak keselamatan Perancis telah mengambil langkah berjaga-jaga dengan mengepung dan menutup laluan sekitar venue pertandingan daripada dilalui kenderaan serta menutup beberapa laluan pejalan kaki di stesen kereta api bawah tanah Metro, saya tetap menasihatkan setiap anggota kontinjen termasuk atlet, jurulatih, dan pegawai untuk mengambil langkah berjaga-jaga dan hadkan pergerakan mereka,” kata Hamidin dalam satu kenyataan.

Hamidin mengulas mengenai laporan media bahawa pusat media utama (MPC) di Palais de Congres di tengah kota Paris telah ditutup sementara berikutan ancaman bom yang diterima oleh pihak keselamatan Perancis.

Selain 26 atlet dan 40 pegawai yang membentuk kontinjen Malaysia, seramai 25 pengamal media terdiri daripada petugas agensi berita nasional, stesen televisyen yang juga pemegang hak siaran serta petugas media kontinjen dan organisasi berita antarabangsa sedang bertugas di Paris.

“Kami juga maklum mengenai senarai anggota media yang menginap di tujuh hotel berbeza dan mereka turut mengambil langkah berjaga-jaga dan sentiasa mengemas kini maklumat penganjuran menerusi pelbagai aplikasi dan laman web rasmi Paris 2024 setiap kali mereka keluar membuat liputan.

“Pada masa yang sama, kami mengharapkan rakyat Malaysia sentiasa menghulurkan doa buat kontinjen negara dan semua pemegang taruh yang berada di Paris supaya kami diselamatkan daripada sebarang bencana serta membawa pulang pingat emas untuk Malaysia,” kata Hamidin.

Author

Pilihan Editor