HomeBerita‘Langkah Muar’: Larian Syed Saddiq kutip hampir RM160,000

‘Langkah Muar’: Larian Syed Saddiq kutip hampir RM160,000

Ahli Parlimen Muar Syed Saddiq Syed Abdul Rahman berjaya mengutip hampir RM160,000, melepasi sasaran RM100,000 yang disasarkannya menerusi larian digelar ‘Langkah Muar’ dari Muar ke Parlimen.

Syed Saddiq berkata, ‘Langkah Muar’ yang dimulakannya sejak Jumaat lepas menerima sambutan menggalakkan dengan sekitar 2,000 rakyat Malaysia membuat sumbangan secara dalam talian.

“Lebih terharu, bukan sahaja sumbangan diberi dalam talian, malah ada yang beri sumbangan RM10, RM50, RM100, ketika saya berlari. Ada adik beri RM1, itu luar biasa sekali,” katanya kepada pemberita di depan bangunan Parlimen sekitar 9.30 pagi tadi.

“Saya yakin mereka tak pernah jumpa saya secara fizikal, besar kemungkinan tidak pernah jejak kaki di Muar, tetapi ada aspirasi yang sama. Itulah sebab saya rasa ini bukan tentang Muar, tetapi Malaysia secara keseluruhan.”

Syed Saddiq berkata, dana yang dikutip itu akan digunakan untuk menguruskan pusat khidmat Parlimen Muar dan bantuan kebajikan bagi pengundi kawasan itu, termasuk sumbangan peranti kepada pelajar.

Bekas presiden Muda itu memulakan inisiatif larian selama empat hari bermula petang Jumaat di Jambatan Sultan Ibrahim Muar menuju ke bangunan Parlimen, sebelum menyertai sidang Dewan Rakyat.

Larian itu turut disertai Ahli Parlimen Machang Wan Ahmad Fayhsal Wan Ahmad Kamal dan Ahli Parlimen Putrajaya Radzi Jidin di 5km terakhir sebelum tiba di pekarangan Parlimen, disambut Ahli Parlimen pembangkang lain.

Larian itu dilakukan berikutan wakil rakyat pembangkang tidak diberikan bantuan peruntukan RM20 juta sepenggal walaupun rundingan dengan pihak kerajaan sudah dilakukan sejak hampir setahun lepas.

“Jangan guna alasan runding itu, runding ini, dah runding beberapa kali, dah hantar surat tiga kali,” katanya.

“Ini buka soal rundingan lagi, ini soal politik balas dendam, nak hukum rakyat yang susah di kawasan pembangkang. Ini perkara salah yang perlu kita tentang bersama-sama.”

Sumber: FMT BM

Author

Pilihan Editor