PETALING JAYA – Peguam, Mahmud Jumaat mengesahkan bahawa beliau tidak lagi bertindak sebagai peguam kepada ibu Zayn Rayyan Abdul Matiin, yang menghadapi tuduhan pengabaian terhadap kanak-kanak autistik tersebut di Mahkamah Sesyen di sini pada hari Jumaat.
Ketika dihubungi, Mahmud memaklumkan bahawa beliau tidak akan hadir ke mahkamah bagi prosiding hari pertama sebutan semula kes di hadapan Hakim Dr Syahliza Warnoh.
“Saya tidak lagi mewakili Ismanira,” ujarnya ringkas.
Sementara itu, Ismanira Abdul Manaf, 29, yang mengenakan jubah biru gelap dan bertudung coklat, hadir ke mahkamah dengan tenang bersama suaminya, Zaim Ikhwan Zahari, 29, yang berpakaian baju Melayu hitam.
Pada 13 Jun lalu, pasangan suami isteri tersebut mengaku tidak bersalah atas satu pertuduhan, bersama-sama sebagai individu yang mempunyai pemeliharaan terhadap anak mereka, Zayn Rayyan Abdul Matiin, 6, dengan mengabaikannya sehingga boleh menyebabkan kecederaan fizikal.
Pertuduhan tersebut dibuat di bawah Seksyen 31(1)(a) Akta Kanak-Kanak 2001 dan boleh dihukum mengikut Seksyen 31(1) akta yang sama, dibaca bersama Seksyen 34 Kanun Keseksaan.
Seksyen ini memperuntukkan hukuman denda tidak melebihi RM50,000 atau penjara tidak melebihi 20 tahun, atau kedua-duanya sekali, jika sabit kesalahan.
Selain itu, mahkamah juga boleh memerintahkan individu yang disabitkan kesalahan di bawah subseksyen ini untuk menyempurnakan bon dengan penjamin berkelakuan baik bagi tempoh yang difikirkan sesuai oleh mahkamah serta melaksanakan khidmat masyarakat.
Sebelum ini, pendakwaan dikendalikan oleh Timbalan Pendakwa Raya, Ku Hayati Ku Haron manakala kedua-dua tertuduh diwakili oleh peguam Fahmi Abd Moin dan Mahmud Jumaat.