BEKAS vokalis kumpulan Exist, Mamat telah dikenakan denda sebanyak RM4,000 atau penjara dua tahun setelah mengaku bersalah di Mahkamah Sesyen pada Isnin atas tuduhan memasukkan dadah ke dalam tubuhnya pada tahun 2019.
Hakim Fatimah Zahari juga memerintahkan Mamat, atau nama sebenarnya Mohd Ali Kamarudin, 47, untuk menjalani tempoh pengawasan bawah Agensi Antidadah Kebangsaan (AADK) Bentong, Pahang selama dua tahun.
Berdasarkan pertuduhan pindaan yang dibacakan pada hari Isnin, Mamat didakwa mengambil dadah jenis methamphetamine pada jam 2 pagi, 9 September 2019 di Pejabat Bahagian Siasatan Jenayah Narkotik Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Johor Bahru Utara.
Tuduhan sebelum ini dibuat di bawah Seksyen 15 (1)(a) Akta Dadah Berbahaya 1952, yang boleh dihukum di bawah Seksyen 39C (1) akta yang sama, membawa hukuman penjara sehingga tujuh tahun serta sebatan jika sabit kesalahan.
Prosiding dijalankan oleh Timbalan Pendakwa Raya, Bariah Jalil, sementara Mamat diwakili oleh peguam bela, Azlina Abdul Aziz.
Mamat kemudian membayar denda yang dikenakan ke atasnya.
Sementara itu, dalam prosiding berasingan, Mahkamah Majistret menjatuhkan hukuman denda RM1,000 setelah Mamat membuat pengakuan bersalah di hadapan Majistret, Hidayatul Syuhada Shamsudin atas tuduhan memiliki dadah jenis methamphetamine seberat 0.17 gram.
Mengikut kertas pertuduhan, kesalahan tersebut dilakukan di Taman Perling pada jam 11.35 malam, 8 September 2019.
Prosiding pendakwaan dikendalikan oleh Adriana Azrin sementara Mamat diwakili oleh peguam yang sama.
Pertuduhan kedua dibuat mengikut Seksyen 12(2) Akta Dadah Berbahaya 1952 dan boleh dihukum mengikut Seksyen 12(3) akta yang sama.
Mamat kemudian membayar denda yang dikenakan melalui peguamnya.