HomeGlobalNenek tak sedar guna bom tangan sebagai tukul

Nenek tak sedar guna bom tangan sebagai tukul

Beijing: Seorang wanita warga China berusia 90 tahun tidak sedar menggunakan bom tangan untuk memecahkan kacang dan mengetuk paku selama dua dekad.

Oddity Central melaporkan, wanita bernama Qin, memberitahu wartawan China bahawa dia menemukan objek logam itu ketika bekerja di ladangnya dekat Xiangyang iaitu wilayah Hubei.

Qin yang yakin ia adalah tukul membawa objek itu pulang dan menggunakannya untuk menumbuk semua jenis objek lasak, daripada kacang hingga paku logam.

Minggu lalu, sepasukan pekerja merobohkan rumah lama wanita itu sebelum menyedari ada objek seperti bom tangan. Wanita itu sebenarnya mempertaruhkan nyawa, setiap kali menggunakannya.

Polis melaporkan bahawa pemegang kayu bom tangan menjadi licin dan berkilat kesan penggunaan bertahun-tahun, manakala kepala logam itu penuh dengan lekuk.

“Saya menggunakannya di rumah untuk menumbuk lada merah, memecahkan kacang, dan menukul paku,” kata Qin dalam video yang di China sejak 23 Jun lalu.

Pekerja yang merobohkan rumah wanita itu kemudian memaklumkan penemuan objek itu kepada pihak berkuasa. Balai polis Huangbao dengan pantas menghantar satu unit khas yang mengesahkan bahawa objek yang mencurigakan itu sememangnya bom tangan.

Ada yang mendakwa ia bom tangan latihan, sama dengan bom tangan sebenar, tetapi tidak diisi dengan bahan letupan. Bagaimanapun, teori itu disangkal oleh kenyataan polis dan berkata, bom tangan itu dimusnahkan dengan betul untuk mengelakkan kecederaan tidak sengaja.

“Sungguh mengagumkan bahawa nenek Qin menggunakan bom tangan sebagai tukul selama lebih 20 tahun tanpa pernah menarik fius kerana ingin tahu,” tulis seorang netizen di media sosial.

Menariknya, laporan berita China menyatakan bom tangan lama itu rosak teruk sehingga sebahagian fiusnya terdedah.

Sumber: Harian Metro

Author

Pilihan Editor