HomeBeritaPelajar IPT ditangkap khalwat beri alasan takut tinggal seorang

Pelajar IPT ditangkap khalwat beri alasan takut tinggal seorang

IPOH: Bimbang tinggal berseorangan ekoran rakan serumah pulang ke kampung merupakan alasan diberi seorang pelajar perempuan sebuah institusi pendidikan tinggi (IPT) yang ditahan bersekedudukan bersama pasangan di sebuah pangsapuri di Meru semalam.

Pelajar perempuan berusia 20 tahun dan pasangan berusia 22 tahun itu ditangkap oleh sepasukan penguatkuasa Jabatan Agama Islam Perak (JAIPk) pada pukul 11.20 pagi.

Pengarah JAIPk, Harith Fadzilah Abdul Halim berkata, serbuan dijalankan di kediaman berkenaan selepas menerima maklumat awam berkaitan pasangan itu yang tinggal bersama sejak seminggu lalu.

“Ketika ditangkap, pelajar perempuan itu memberi alasan tinggal berseorangan kerana rakan-rakan serumahnya pulang ke kampung masing-masing.

“Bimbang dengan keselamatan diri, dia kemudian menumpang di rumah sewa pasangannya di mana semua rakan lelaki itu juga pulang ke kampung bercuti,” katanya hari ini pada KOSMO! ONLINE.

Menurut beliau, pelajar terbabit dan pasangannya yang juga menuntut di IPT sama dibawa ke Pejabat Penguatkuasaan, JAIPk untuk siasatan lanjut. Katanya, siasatan ke atas pasangan itu dibuat mengikut Seksyen 54 (1) dan (2) Enakmen Jenayah (Syariah) 1992.

“Kedua-dua pelajar itu bagaimanapun telah dibebaskan dengan bon jaminan penguatkuasa.

“Masyarakat setempat juga diharap dapat memainkan peranan dan membudayakan amar makruf nahi mungkar dalam mengekang pelakuan maksiat di kalangan umat Islam,” ujar beliau.

Sumber: KOSMO! ONLINE

Author

Pilihan Editor