HomeSukanPenyerahan kutipan tabung solidariti bersama Selangor FC

Penyerahan kutipan tabung solidariti bersama Selangor FC

SHAH ALAM: Kerajaan Negeri Selangor menjunjung kasih titah DYMM Sultan Selangor yang mencerminkan ketegasan dan kepekaan baginda terhadap pelbagai isu dan ketidakadilan yang dihadapi oleh Kelab Bola Sepak Selangor (Selangor FC).
Susulan daripada keputusan tidak adil dan bersifat penindasan yang dijatuhkan oleh Malaysian Football League (MFL) kepada Selangor FC, Kerajaan Negeri melalui Majlis Sukan Negeri Selangor (MSNS) telah melancarkan Tabung Solidariti Bersama Selangor FC bermula pada 26 Jun 2024 sehingga 2 Julai 2024.
Inisiatif ini bertujuan untuk memberikan ruang kepada semua rakyat Malaysia dan para peminat sukan bola sepak merentasi batas kenegerian untuk menzahirkan solidariti kepada Selangor FC.
Berdasarkan kepada sambutan yang diterima melalui Sumbangan Tabung Solidariti Bersama Selangor FC ini, kita dapat melihat bagaimana sokongan kuat yang telah diberikan oleh seluruh rakyat Malaysia yang turut sama tidak bersetuju dengan apa yang sedang berlaku di dalam Liga Bola Sepak Malaysia.
Selain daripada sumbangan dari orang awam, Selangor FC turut menerima sumbangan daripada Ahli-Ahli Dewan Negeri Selangor, Majlis Bandaraya Shah Alam (MBSA), KDEB Waste Management serta badan-badan korporat.
Secara keseluruhannya, Tabung Solidariti Bersama Selangor FC berjaya mengumpulkan sumbangan berjumlah RM76,490.06. Seratus peratus hasil daripada sumbangan yang terkumpul ini akan diserahkan kepada pihak Selangor FC bagi membantu pihak mereka memperjuangkan keadilan sehingga ke peringkat yang tertinggi.
Sukan merupakan satu industri yang diterapkan dalam kehidupan seharian bagi menyatukan rakyat, bukan tempat untuk kita ancam dengan elemen keganasan dan ketaksuban kenegerian melampau hingga menjurus kepada perpecahan di kalangan masyarakat.

Author

Pilihan Editor