HomeBeritaPRK Sungai Bakap: 'Sibuk macam mana pun kena undi'

PRK Sungai Bakap: ‘Sibuk macam mana pun kena undi’

NIBONG TEBAL: Seorang pengawal kualiti sebuah kilang antara pengundi terawal tiba di pusat pengundian Sekolah Kebangsaan (SK) Sungai Duri bagi menunaikan tanggungjawab pada Pilihan Raya Sungai Bakap hari ini.

Foto: SPR

Azizanindayati berkata, dari Alma, Bukit Mertajam bangun seawal jam 5.30 pagi untuk mengurus keperluan keluarga sebelum tiba di sekolah tersebut pada jam 7.15 pagi dan selesai mengundi pada jam 8.10 pagi.

“Saya sebenarnya ada urusan kerja di Kuala Lumpur dan perlu berada di sana bersama suami pada jam 12 tengah hari.

“Sibuk macam mana pun kena undi sebab kita nak bagi calon yang kita pilih menang supaya dia boleh laksanakan tugasnya sebagai wakil rakyat seperti yang diharapkan,” katanya ketika ditemui Berita Harian hari ini.

Warga emas, Sarifah Saari, turut bersemangat mengambil bahagian dalam proses demokrasi itu termasuk mengajak suami dan tiga anak mereka datang awal ke pusat pengundian pada jam 8 pagi.

“Lega apabila sudah selesaikan tanggungjawab, mak cik memang tak pernah ketinggalan turun mengundi dan ajak semua anak-anak keluar mengundi,” katanya.

Pengundi muda, Muhammad Zairi, 19, pula teruja mengundi buat pertama kali dan mengganggap tanggungjawab itu peluang keemasan yang tidak seharusnya dilepaskan.

“Malam tadi saya sudah fikir nak mengundi calon yang mana dan saya rasa ini kewajipan penting, tak boleh ambil mudah kerana peluang macam ini tidak datang banyak kali,” kata pelajar Kolej Vokasional Nibong Tebal itu.

Bagi proses pengundian bermula 8 pagi hingga 6 petang hari ini, sebanyak sembilan pusat mengundi membabitkan 65 saluran dibuka sebelum proses penjumlahan undi berlangsung di Dewan Serbaguna Jawi, Taman Desa Jawi.

Sumber: Berita Harian

Author

Pilihan Editor