HomeBeritaRakyat dinasihat tidak tergesa-gesa tuntut perubahan - PM

Rakyat dinasihat tidak tergesa-gesa tuntut perubahan – PM

IPOH: Datuk Seri Anwar Ibrahim menyeru rakyat supaya tidak tergesa-gesa dalam menuntut perubahan yang dijanjikan oleh kerajaan dan mengemukakan sebarang permasalahan yang timbul secara berhemah agar ia dapat diselesaikan.

Perdana Menteri menyatakan bahawa rakyat perlu memahami bahawa tidak semua masalah boleh diselesaikan dengan segera. Oleh itu, sebarang tuntutan yang dibuat secara baik dan berhemah akan diteliti dan cuba diselesaikan.

Ahli Parlimen Tambun itu memberi beberapa contoh, termasuk keputusan Kabinet baru-baru ini yang menetapkan bahawa pelajar bukan Melayu yang memperoleh keputusan cemerlang Sijil Pelajaran Malaysia (SPM) 10A dan ke atas layak melanjutkan pengajian ke peringkat matrikulasi.

Anwar menyatakan bahawa daripada 10 orang yang layak, mungkin hanya dua orang yang belum menerima tawaran memasuki matrikulasi. Oleh itu, mereka yang belum menerima tawaran tidak seharusnya berkata buruk mengenai keputusan itu jika belum mengemukakan aduan secara berhemah.

“Kita telah mengarahkan semua yang layak mesti mendapat tawaran, tetapi ada satu atau dua yang belum mendapat tawaran kemudian mengatakan ‘tengok ini kerajaan tipu, kerajaan zalim’. Keputusan itu untuk seluruh negara bahawa siapa yang dapat 10A mesti automatik dapat (matrikulasi), tetapi jika ada dua orang Cina yang belum dapat, mereka terus bising.

“Cakap baik-baik, bawa bincang dengan baik kerana apabila kita dengar dan jika boleh diselesaikan, kita akan selesaikan. Jadi, sebab itu saya kata komplen boleh tetapi jangan timbulkan cakap seolah-olah Anwar tidak ambil tahu semua. Itu tidak betul,” katanya semasa berucap dalam Program Santai Bersama YAB Perdana Menteri dengan Komuniti India Parlimen Tambun di Dewan Komuniti Chemor, di sini petang ini.

Hadir sama Exco Sumber Manusia, Kesihatan, Hal Ehwal Masyarakat India dan Integrasi Nasional Perak, A Sivanesan, dan Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Hulu Kinta, Muhamad Arafat Varisai Mahamad.

Anwar turut menyatakan beberapa inisiatif kerajaan pimpinannya yang tidak pernah meminggirkan masyarakat India, antaranya tambahan RM50 juta bagi program pembiayaan di bawah Tabung Ekonomi Kumpulan Usaha Niaga (TEKUN) Nasional serta RM50 juta Dana Khas Pemerkasaan Wanita India (PENN) bawah Amanah Ikhtiar Malaysia (AIM).

“Jangan bermusuhan, jangan bawa perpecahan. Jika masyarakat India bercakap kepada saya dengan baik, saya akan meneliti dan cuba menyelesaikannya.

“Mengenai pemberian Biasiswa PETRONAS kepada pelajar India, dahulunya hanya tumpukan pada pelajar Melayu. Sekarang PETRONAS menggajikan lebih 1,000 kakitangan daripada kalangan kaum India,” katanya.

Anwar, yang juga Menteri Kewangan, berkata beliau perlu menunjukkan contoh yang baik kepada rakyat dalam tempoh tiga tahun sebelum berakhir penggal pentadbirannya, dengan tidak memberi tender kepada keluarga sendiri serta berpenampilan sederhana.

“Saya tidak mahu buat begitu, daripada mendapat RM10 juta, RM1 juta diserahkan kepada isteri, RM1 juta diberi kepada anak, menantu. Saya sudah bekerja satu setengah tahun, saya tidak beri tender untuk keluarga saya malah tidak ambil gaji sekarang (sebagai Perdana Menteri).

“Kereta mahal berharga RM2 juta pun saya tolak walaupun kalau saya ambil pun okay. Ini bukan sebab apa melainkan saya mahu tunjukkan bahawa bukan semua Perdana Menteri macam itu, agar menjadi inspirasi buat rakyat.

“Rakyat sekarang ini susah, harga barang naik, sesetengahnya hendak makan pun tak cukup, begitu juga sekolah anak-anak. Jadi kalau menjadi pemimpin mesti fikir bagaimana boleh selesaikan, tetapi kalau kita sebagai pemimpin fikir anak, menantu, kawan, maka rakyat bagaimana mahu ditolong?” katanya.

Author

Pilihan Editor