PUTRAJAYA: Pasangan suami isteri yang juga pempengaruh yang ditahan Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) petang semalam, direman empat hari.
Turut direman empat hari ialah dua lelaki daripada pengendali platform kutipan derma dalam talian. Perintah tahanan reman selama empat hari bermula hari ini terhadap empat individu itu dikeluarkan oleh Majistret Irza Zulaikha Rohanuddin.
Kes disiasat mengikut Seksyen 14(1)(B) Akta Pencegahan Pengubahan Wang Haram, Pencegahan Pembiayaan Keganasan dan Hasil Aktiviti Haram 2001 (AMLA).
Menurut sumber, dua lelaki yang juga pengendali platform kutipan derma atas talian ditahan SPRM tengah malam kelmarin, ketika memberi keterangan.
Sebelum ini, pempengaruh terbabit menerusi peguamnya menafikan semua dakwaan penyelewengan dan pecah amanah membabitkan dirinya seperti yang tular di media sosial, sejak kebelakangan ini.
Peguam yang mewakili pempengaruh itu melalui kenyataan media berkata, pihaknya menafikan sebarang penglibatan anak guamnya dalam kes yang tular.
Menurutnya, individu bertanggung jawab menyebarkan tuduhan itu perlu membuktikan dakwaan mereka di mahkamah termasuk dakwaan melibatkan skim 20 peratus yang diterima anak guamnya bagi keseluruhan derma oleh platform kutipan derma dalam talian.
Aset yang diperoleh oleh anak guamnya adalah atas daya usaha beliau sendiri tanpa menyalahgunakan mana-mana dana mahupun kutipan derma.
“Anak guam kami juga seperti sedia maklum menjalankan pelbagai perniagaan yang menjana keuntungan dan berhak menikmati hasil keuntungan perniagaan untuk tujuan peribadi,” katanya.
Sumber: Berita Harian