HomeGlobalWanita tinggal dengan mayat ibu bapa selama bertahun-tahun

Wanita tinggal dengan mayat ibu bapa selama bertahun-tahun

London: Seorang wanita di United Kingdom, baru-baru ini, mengaku bersalah membunuh ibu bapanya dan selama bertahun-tahun, tinggal bersama mayat pasangan itu di rumah mereka, lapor Independent.

Virginia McCullough. FOTO Agensi

Virginia McCullough muncul melalui pautan video penjara di hadapan Mahkamah Mahkota Chelmsford pada Khamis lalu dan mengaku bersalah atas pertuduhan membunuh John dan Lois McCullough, yang kedua-duanya berumur 70-an.

Dia membunuh pasangan itu antara 17 Jun 2019 dan 20 Jun 2019.

Selepas melakukan pembunuhan itu, dia menyembunyikan mayat ibu bapanya di dalam kediaman itu dan terus tinggal di situ.

Untuk mengelak rahsianya terbongkar, dia berbohong secara berterusan mengenai keberadaan mangsa, dengan kerap memberitahu doktor dan saudara-mara bahawa ibu bapanya tidak sihat, bercuti atau pergi mengembara untuk tempoh panjang.

Tindakannya terbongkar selepas doktor kepada ibu bapanya membangkitkan kebimbangan mengenai ketidakhadiran janji temu pada 2023.

Siasatan dilancarkan dan pada 15 September 2023, polis melaksanakan mendapatkan waran bagi pemeriksaan di kediaman pasangan itu di Pump Hill, Chelmsford

Sejurus selepas itu, dia mengaku meracuni bapanya dengan ubat preskripsi dan menikam ibunya tidak lama selepas kejadian.

Virginia, yang memakai baju atasan kelabu ketika muncul melalui pautan video, bercakap untuk mengesahkan namanya, untuk membuat pengakuan bersalah terhadap kedua-dua pertuduhan.

McCullough akan dijatuhkan hukuman pada 10 dan 11 Oktober depan.

Polis Essex berkata, pihaknya menerima laporan kebimbangan terhadap kesejahteraan dua orang berusia 70-an pada 13 September 2023.

Pasukan itu berkata, ia memulakan siasatan dan detektif kemudian menemukan mayat di rumah pasangan itu.

Sumber: Harian Metro

Author

Pilihan Editor