HomeBeritaWisma Putra terus pantau rakyat Malaysia di Bangladesh

Wisma Putra terus pantau rakyat Malaysia di Bangladesh

SUNGKAI, 28 Julai – Wisma Putra mengesahkan bahawa lebih 40 pelajar Malaysia dan beberapa pekerja profesional masih berada di Bangladesh ketika ini.

Menteri Pendidikan Tinggi, Datuk Seri Dr Zambry Abdul Kadir, menyatakan kebanyakan mereka merupakan pelajar tahun akhir di institusi pengajian tinggi di negara tersebut. Beliau menegaskan bahawa pihak kementerian akan terus bekerjasama dengan Wisma Putra untuk memantau keadaan mereka di sana.

“Saya difahamkan bahawa sebahagian daripada mereka yang berada di sana adalah pekerja dalam sektor-sektor tertentu, walaupun bilangannya tidak ramai, namun mereka adalah profesional. Ini bukan pekerja biasa. Pelajar pula merasakan mereka tidak terjejas dengan keadaan semasa di sana,” ujar Dr Zambry.

Beliau ditemui media ketika merasmikan Mesyuarat Perwakilan UMNO Bahagian Tanjong Malim serta Wanita dan Pergerakan Puteri UMNO Bahagian di Dewan Rajawali Felda Trolak, di sini.

Dr Zambry juga menyatakan bahawa 123 rakyat Malaysia yang dibawa pulang sebelum ini, terutamanya pelajar, akan diberikan bantuan kaunseling daripada pihak kementerian. Pihaknya akan mengadakan perbincangan bersama-sama pelajar tersebut untuk perancangan seterusnya mengenai urusan pengajian mereka.

Dalam perkembangan lain, Dr Zambry menyebut bahawa kabinet memandang serius insiden buli yang berlaku di Institut Pengajian Tinggi (IPT) baru-baru ini. Justeru itu, bahagian Hal Ehwal Pelajar dan Alumni (HEPA) di setiap universiti dan politeknik telah diarahkan untuk mengambil langkah proaktif mengatasi masalah tersebut.

“HEPA di universiti-universiti telah kita arahkan untuk mengambil langkah-langkah bagi memastikan perbuatan buli tidak berlaku di kampus-kampus, sama ada di Institut Pengajian Tinggi Awam (IPTA) atau di Institut Pengajian Tinggi Swasta (IPTS) dan juga di politeknik,” kata Dr Zambry.

Author

Pilihan Editor