HomeBeritaKastam rampas 231 kenderaan tanpa permit import bernilai RM27.45 juta

Kastam rampas 231 kenderaan tanpa permit import bernilai RM27.45 juta

PELABUHAN KLANG: Jabatan Kastam Diraja Malaysia (JKDM) Zon Tengah Unit II Selangor berjaya merampas 231 kenderaan pelbagai jenis dan jenama yang dianggarkan bernilai RM27.452 juta, yang didapati tidak mempunyai permit import, dalam dua operasi berasingan di sini.

Penolong Ketua Pengarah Kastam Zon Tengah, Norlela Ismail berkata, serbuan pertama melibatkan penahanan 67 kontena bersaiz 40 kaki di Zon Bebas, Pelabuhan Utara pada 25 Jun lalu.

“Hasil pemeriksaan lanjut mendapati terdapat 200 kenderaan pelbagai jenis yang dipercayai tidak mempunyai permit import,” katanya dalam sidang media di Pejabat Kastam Selangor, Pelabuhan Utara, hari ini.

“Nilai dagangan dianggarkan RM20.6 juta, manakala jumlah duti/cukai pula berjumlah RM2.06 juta,” tambah beliau.

Dalam operasi kedua yang dilakukan pada 27 Jun lalu, Norlela menyatakan pihaknya telah merampas 17 kontena yang membawa 31 kenderaan dengan anggaran nilai dan duti/cukai berjumlah RM4.792 juta.

“Penahanan di lokasi sama mendapati semua kenderaan tersebut juga dipercayai tidak mempunyai permit import. Nilai dagangan dianggarkan berjumlah RM1.789 juta dengan jumlah duti/cukai yang terlibat dianggarkan berjumlah RM3.003 juta,” katanya.

Norlela menambah bahawa antara kenderaan yang dirampas termasuk jenama Mini Cooper, Alphard dan EV, yang dipercayai untuk pasaran dalam Malaysia.

Kedua-dua kes tersebut sedang disiasat di bawah Akta Kastam 1967 kerana mengimport barang larangan bertentangan dengan Seksyen 135(1)(a) Akta Kastam 1967.

Author

Pilihan Editor