HomeBeritaLaporan cadangan perubahan gaji minimum akan dibentangkan ke Kabinet

Laporan cadangan perubahan gaji minimum akan dibentangkan ke Kabinet

GEORGETOWN: Majlis Perundingan Gaji Negara (MPGN) sedang dalam proses menyediakan laporan mengenai cadangan perubahan gaji minimum untuk dikemukakan kepada Kabinet, kata Menteri Sumber Manusia, Steven Sim.

Beliau berkata, MPGN yang terdiri daripada wakil majikan, pekerja dan pihak kerajaan telah mengadakan pertemuan pada akhir bulan Jun lalu bagi membincangkan perkara tersebut.

“Seperti yang anda lihat, kita sudah membincangkan mengenai mekanisme gaji berbeza yang sedang kita laksanakan kerana gaji minimum sangat penting. Saya telah melihat data, statistik dan penyelidikan yang menunjukkan kesan positif.

“Golongan 10 peratus terendah telah mengalami pertumbuhan gaji sehingga 60 peratus dalam tempoh sepuluh tahun yang lalu disebabkan dasar gaji minimum,” katanya.

“Jadi, ia sangat penting dan kritikal dan kerana itu kita perlu melaksanakannya,” katanya ketika berucap pada Persidangan Sumber Manusia Wilayah Utara 2024 di Pusat Konvensyen Setia SPICE, hari ini.

Steven menekankan bahawa kerajaan tidak boleh menaikkan gaji dengan hanya menggunakan undang-undang semata-mata.

gaji minimum
Steven Sim

“Anda tidak boleh mengarahkan perniagaan untuk menaikkan gaji kepada angka tertentu dan kemudian memberi arahan yang sama selepas beberapa bulan atau setahun kemudian.

“Gaji tidak boleh ditetapkan dengan cara sedemikian,” katanya.

Beliau menegaskan bahawa Dasar Gaji Progresif (DGP) yang dilaksanakan Jun lalu secara dasarnya membolehkan kerajaan memberi insentif kepada majikan supaya mereka boleh membayar gaji lebih tinggi kepada pekerja masing-masing.

Katanya, pelaksanaan DGP setakat ini telah menarik penyertaan kira-kira 430 syarikat dengan seramai 1,200 pekerja telah mendapat manfaat daripada dasar baharu itu.

Pekerja yang menyertai program itu perlu menjalani latihan kemahiran selama 21 jam yang melibatkan sektor pembuatan, pembinaan, perdagangan borong dan runcit, pembaikan kenderaan bermotor, maklumat dan komunikasi, serta aktiviti profesional, saintifik dan teknikal.

Sim berkata, langkah itu bertujuan memastikan bahawa bayaran lebih tinggi yang diterima pekerja adalah setimpal dengan kemahiran terkini, sekali gus meningkatkan produktiviti.

Author

Pilihan Editor