KUALA LUMPUR: Tinggal di pangsapuri dengan sewa dibayar oleh majikan. Inilah situasi yang didapati dalam operasi yang dijalankan oleh Jabatan Imigresen Malaysia (JIM) di sebuah pangsapuri di Segambut, di sini, pada Jumaat.
Operasi yang bermula sekitar jam 12.15 tengah malam itu dijalankan selepas menerima aduan daripada orang awam serta hasil risikan selama dua minggu.
Seorang lelaki warga Pakistan berusia lingkungan 40-an yang ditahan, mengakui bahawa dia tinggal di unit pangsapuri tersebut bersama lapan rakan yang lain.
“Kami tidak bayar sewa, bos yang bayar. Kami hanya datang dan tinggal di sini,” katanya.
Tinjauan pihak media sepanjang operasi tersebut mendapati beberapa unit kediaman yang disewa berada dalam keadaan yang tidak teratur serta berbau.
Sebahagian besar warga asing yang ditahan dalam operasi itu bekerja di kawasan sekitar sebagai pengawal keselamatan, pekerja restoran, dan kilang.
Pengarah Imigresen Kuala Lumpur, Wan Mohammed Saupee Wan Yusoff berkata, operasi tersebut melibatkan 25 unit kediaman yang dipercayai disewa dan didiami oleh warga asing dengan kadar sewa sekitar RM1,500 sebulan.
Menurut beliau, seramai 102 warga asing diperiksa di dua blok pangsapuri setinggi 20 tingkat itu.
“Hasil pemeriksaan, 38 pendatang asing tanpa izin (PATI) termasuk sembilan wanita ditahan. Mereka terdiri daripada 12 warga India, 11 warga Pakistan, 11 warga Nepal, dan empat warga Filipina yang didapati tidak mempunyai dokumen perjalanan sah serta tinggal lebih masa di negara ini,” katanya selepas operasi tersebut.
Beliau turut menambah bahawa lima warga tempatan yang juga pemilik kediaman turut dikenakan tindakan kerana melindungi dan membenarkan PATI berada di dalam premis mereka.
“Kesemua yang ditahan telah dibawa ke Pejabat JIM Kuala Lumpur untuk tindakan lanjut di bawah Akta Imigresen 1959/63, Akta Pasport 1966, serta Peraturan 39(b) Peraturan-Peraturan Imigresen 1963,” tambahnya.
Wan Mohammed Saupee turut menegaskan bahawa JIM akan terus melaksanakan operasi secara menyeluruh dan mengambil tindakan tegas terhadap PATI, majikan, atau mana-mana pihak yang melindungi mereka.