Pelumba trek negara, Muhammad Shah Firdaus Sahrom meluahkan rasa kecewaannya apabila terlepas peluang meraih pingat dan disingkirkan dari final keirin lelaki di Sukan Olimpik Paris 2024.
Menurut beliau, harapan beliau untuk mencapai podium di Velodrom Nasional Saint-Quentin-en-Yvelines musnah apabila beliau dirempuh pelumba Jepun, Shinji Nakano, menyebabkan beliau terjatuh bersama Jack Carlin dari Great Britain.
Walaupun mengalami kecederaan ringan, beliau berjaya bangkit dari insiden itu dan menolak basikalnya melintasi garisan penamat, mengakhiri perlumbaan di tempat keempat.
Namun begitu, beliau kemudiannya diturunkan ke tempat keenam kerana didapati melanggar laluan pelumba Jepun itu.
Pelumba yang memenangi dua pingat gangsa di Sukan Asia Hangzhou tahun lalu itu, menzahirkan rasa syukur kepada Institut Sukan Negara (ISN) atas sokongan mereka dalam merawat kecederaan beliau.