PUTRAJAYA: Pemegang Lesen Memandu Malaysia (LMM) kategori B1 dan B2 yang telah memegang lesen tersebut selama lebih 10 tahun akan layak menyertai program peralihan khas untuk mendapatkan lesen B penuh, bermula 1 Oktober ini.
Menteri Pengangkutan, Anthony Loke, menyatakan bahawa pemohon perlu memenuhi beberapa syarat yang ditetapkan. Antaranya ialah menghadiri dan lulus program peralihan serta penyesuaian kepada kenderaan motosikal berkuasa 500cc ke atas di institut memandu (IM) dengan kos yuran sebanyak RM160.
Menurut beliau, pemohon juga perlu menjalani program amali penunggangan, mempelajari informasi pemanduan selamat dan pengoperasian motosikal berkuasa besar, yang hanya memerlukan tempoh dua jam.
“Melalui program amali ini, pemohon mesti mendapatkan pengesahan tahap keupayaan mengendalikan motosikal berkuasa besar oleh Pegawai Latihan Berkelayakan (Qualified Training Officer, QTO) di IM.
“Pengesahan ini sangat penting untuk memastikan tahap kompetensi dan keupayaan seseorang dalam mengendalikan motosikal berkuasa besar, demi meningkatkan tahap keselamatan pemanduan individu terbabit,” jelas beliau.
Beliau berkata demikian dalam sidang media selepas menghadiri Perhimpunan Bulanan dan Pelancaran Bulan Kemerdekaan peringkat Kementerian Pengangkutan, di sini, hari ini.