HomeBeritaPenipuan jual beli tanah oleh ‘Siti Aisyah binti Nasib Ghazali’: Kerugian mencecah...

Penipuan jual beli tanah oleh ‘Siti Aisyah binti Nasib Ghazali’: Kerugian mencecah RM547,650

Kuala Lumpur, 13 Ogos 2024 – Sejumlah 15 laporan polis telah diterima sejak tahun 2016 berkenaan kegiatan penipuan jual beli lot tanah yang didalangi oleh seorang individu dikenali sebagai ‘Siti Aisyah binti Nasib Ghazali’. Setakat ini, jumlah kerugian keseluruhan yang dicatatkan akibat penipuan ini telah mencecah RM547,650.00.

Hasil siasatan mendedahkan bahawa modus operandi yang digunakan oleh suspek adalah dengan menandatangani perjanjian jual beli dengan pemilik tanah, berpura-pura untuk membeli tanah tersebut. Pada masa yang sama, suspek akan mengiklankan penjualan tanah tersebut dalam bentuk pecahan lot kepada pembeli yang berminat. Bagi meyakinkan mangsa, suspek menunjukkan dokumen pembelian tanah atau mendakwa memiliki kuasa mentadbir (power of attorney) daripada pemilik asal tanah.

Percaya dengan dakwaan tersebut, ramai mangsa telah membuat bayaran bagi membeli lot tanah yang ditawarkan. Siasatan juga mendapati bahawa suspek telah menggunakan enam kawasan di sekitar Selangor sebagai lokasi penjualan lot tanahnya. Empat akaun bank telah dikenal pasti digunakan untuk menerima bayaran daripada mangsa-mangsa. Tiga daripada akaun tersebut didaftarkan atas nama individu, termasuk dua daripadanya milik suspek sendiri, manakala satu lagi akaun didaftarkan atas nama syarikat suspek, Izz Ikhwan Legacy Sdn Bhd.

Selain itu, siasatan turut mendedahkan bahawa terdapat beberapa individu lain yang turut terlibat dalam kegiatan penipuan yang dilakukan oleh suspek ini.

Suspek telah dituduh bersabit empat kes penipuan penjualan lot tanah, dan perbicaraan bagi kes-kes ini masih berjalan di Mahkamah. Terbaru, pada 12 Ogos 2024, suspek telah ditahan di Gombak, Selangor bersabit satu lagi kes penipuan lot tanah. Dalam kes terbaru ini, suspek didakwa telah menipu seorang pesara berusia 59 tahun sehingga mengakibatkan mangsa mengalami kerugian sebanyak RM60,400.00.

Menurut laporan polis yang dibuat pada 4 Ogos 2024, mangsa memaklumkan bahawa pada 5 November 2021, dia telah menandatangani satu perjanjian jual beli dengan pemilik-pemilik berdaftar tanah berdasarkan surat kuasa yang diberikan kepada suspek. Mangsa diyakinkan bahawa suspek telah membeli keseluruhan tanah berkeluasan 1.62 hektar tersebut dan sedang dalam proses untuk memecahkan tanah tersebut kepada 92 lot individu.

Bagaimanapun, selepas bayaran dibuat kepada suspek, tiada sebarang pembangunan dilakukan terhadap tanah tersebut, dan pecahan lot juga tidak dilaksanakan. Mangsa kemudian bertemu dengan salah seorang pemilik asal tanah yang memaklumkan bahawa mereka tidak pernah menerima sebarang bayaran daripada suspek bagi tujuan pembelian tanah tersebut. Sehingga kini, hak milik tanah tersebut masih kekal atas nama pemilik asal.

Suspek kini sedang direman selama tiga hari sehingga 14 Ogos 2024 dan kes sedang disiasat di bawah Seksyen 420 Kanun Keseksaan atas kesalahan penipuan. Pihak berkuasa menasihati orang ramai agar berhati-hati dan membuat semakan terperinci sebelum membuat sebarang urusan jual beli tanah bagi mengelakkan menjadi mangsa penipuan.

Author

Pilihan Editor