Kuala Lumpur, 13 Ogos 2024 – Jabatan Siasatan Jenayah Komersil (JSJK) mengeluarkan amaran kepada orang ramai mengenai sebaran mesej yang menawarkan pekerjaan sambilan yang dipercayai didalangi oleh sindiket penipuan “Job Scam”. Sindiket ini didakwa menyasarkan individu dengan tawaran kerja yang kelihatan menarik, tetapi berisiko tinggi menjadi mangsa penipuan.
Menurut kenyataan yang dikeluarkan, sindiket ini mengiklankan pekerjaan yang meminta individu untuk memberikan ulasan atau review kepada laman web, produk, dan perkhidmatan yang dipaparkan melalui enjin carian seperti Google. Sindiket tersebut mendakwa bahawa ulasan tersebut akan meningkatkan trafik lawatan ke laman web yang terlibat, seterusnya memberikan keuntungan kepada peniaga yang memaparkan barangan atau perkhidmatan mereka di laman web tersebut.
Sebagai balasan, individu yang terlibat dalam memberikan ulasan akan dijanjikan bayaran yang menarik, iaitu serendah RM15.90 sehari sehingga RM6,188.00 sebulan, bergantung kepada jumlah dan jenis tugasan yang diselesaikan.
Namun, berdasarkan bentuk pekerjaan dan jumlah komisen yang ditawarkan, pihak JSJK percaya bahawa ini adalah satu cubaan penipuan. Siasatan sedang dijalankan untuk menentukan sama ada terdapat individu yang telah menjadi mangsa sindiket ini.
Pihak polis menasihati mana-mana individu yang merasakan mereka telah ditipu oleh sindiket ini agar segera tampil membuat laporan di mana-mana balai polis berhampiran. Amaran juga dikeluarkan kepada masyarakat supaya lebih berhati-hati terhadap tawaran pekerjaan sambilan yang kelihatan terlalu baik untuk menjadi kenyataan.
Di era ketidakstabilan ekonomi hari ini, adalah tidak mungkin terdapat pekerjaan yang menawarkan pulangan lumayan hanya dengan melakukan tugas-tugas mudah. Orang ramai dinasihatkan untuk lebih bijak dan berhati-hati, supaya tidak menjadi mangsa penipuan.
“Jangan sampai ‘yang dikejar tak dapat, yang dikendong berciciran'” pesan JSJK dalam kenyataan tersebut.