HomeBeritaPRU15: PAS bertemu pimpinan tertinggi UMNO dalam masa terdekat

PRU15: PAS bertemu pimpinan tertinggi UMNO dalam masa terdekat

BANTING: PAS akan mengadakan pertemuan bersama pemimpin tertinggi UMNO dalam masa terdekat bagi membincangkan hala tuju kerjasama menghadapi Pilihan Raya Umum Ke-15 (PRU15).

Timbalan Presiden PAS, Datuk Seri Tuan Ibrahim Tuan Man berkata, kerjasama berkenaan membabitkan 27 kerusi Parlimen serta beberapa negeri seperti Selangor, Negeri Sembilan dan Pulau Pinang yang dilihat mempunyai potensi untuk dimenangi sekiranya ada permuafakatan bersama UMNO.

“Kalau tidak boleh semua (muafakat antara UMNO-PAS) pun, mungkin tempat tertentu. Tidak mustahil,” katanya pada sidang media sempena Pelancaran Jentera PAS Selangor 2022, di sini malam tadi.

Bagaimanapun, beliau berkata sebarang perbincangan dengan parti di luar komponen Perikatan Nasional (PN) akan dilaporkan dalam Majlis Presiden PN bagi mencari jalan terbaik untuk permuafakatan politik.

Mengulas mengenai tiga syarat ditetapkan UMNO kepada PAS untuk mereka kembali ke meja rundingan berhubung kerjasama bagi menghadapi PRU15, Tuan Ibrahim berkata, kerangka muafakat itu perlu dibincangkan bagi mendapatkan titik persamaan.

Semalam, Presiden UMNO Datuk Seri Dr Ahmad Zahid Hamidi dilapor berkata, UMNO akan kembali ke meja rundingan dengan PAS berhubung kerjasama dalam PRU15 jika parti itu memenuhi tiga syarat ditetapkan.

Sementara itu, Setiausaha Agung PAS, Datuk Seri Takiyuddin Hassan dalam kenyataan hari ini berkata, parti itu menyambut baik kenyataan Ahmad Zahid yang menzahirkan keterbukaan memulihkan agenda penyatuan ummah berikutan pertemuan empat mata Presiden UMNO dan PAS pada 17 September lepas.

“PAS mengulangi komitmen untuk bersama dalam segala usaha ke arah mencapai hasrat penyatuan ummah terutamanya dalam kalangan rakyat berbangsa Melayu dan beragama Islam berteraskan Ayat 10 Surah al-Hujurat yang menekankan soal ‘perdamaian’ antara orang-orang Islam bertelagah dalam sesuatu urusan mereka,” katanya.

Takiyuddin berkata, PAS tetap mengharapkan suatu jalinan penyatuan ummah yang sejati dapat direalisasikan antara parti-parti utama Melayu dan Islam di negara ini.

“PAS dengan ini mengambil sikap mengkaji secara mendalam keterbukaan UMNO dalam hal ini dan akan membuat keputusan muktamad sebelum hujung minggu ini dengan mengambil kira aspek maslahah yang lebih besar serta mudhorat (risiko) paling ringan,” katanya.

Ahmad Zahid juga dilapor berkata, UMNO tidak pernah memadamkan agenda penyatuan ummah, termasuk dalam kerjasama politik parti itu dengan PAS, yang menjadi asas kestabilan politik tanah air.

Sementara itu, di Ipoh, Mursyidul Am PAS Datuk Hashim Jasin berkata, parti itu tidak berputus asa untuk menyatupadukan hubungan dengan UMNO dan Bersatu dan kedua-dua parti itu perlu berusaha ke arah perpaduan dan menyelesaikan masalah berbangkit dengan berpegang pada matlamat agenda perpaduan ummah. – BERNAMA

Authors

Pilihan Editor