KUALA LUMPUR: Sunway Malls memperkenalkan concierge maya pertama di Malaysia bertujuan memberikan pengalaman membeli-belah yang lebih lancar serta bersifat peribadi dan tanpa sentuh kepada pengunjungnya.
Sunway Malls dalam kenyataannya hari ini memaklumkan, menerusi perkhidmatan itu pengunjung boleh mendapatkan bantuan dengan lebih mudah menerusi ‘titik sentuh’ yang terdapat di seluruh pusat beli belah tersebut.
Ketua Pegawai Eksekutif Sunway Malls and Theme Parks, HC Chan dalam kenyataan sama berkata, landskap perniagaan kini semakin berkembang selari dengan tekanan kos yang semakin meningkat.
“Justeru, penggunaan teknologi akan memberikan produktiviti, kecekapan dan konsistensi yang lebih baik walaupun dengan jumlah sumber yang sama. Penggunaan concierge maya ini adalah antara contoh terbaik,” katanya.
Menurut kenyataan itu, concierge maya adalah kios layan diri interaktif ‘semua dalam satu’ yang membolehkan pembeli-belah mendapatkan bantuan dengan mudah dan efisien menerusi antara muka mudah-guna dengan tambahan titik sentuh diletakkan secara strategik di seluruh pusat beli-belah tersebut.
Ia juga sebagai pelengkap kepada concierge fizikal sedia ada dengan penglibatan hibrid bagi melayani pembeli-belah di kaunter dan interaksi digital secara serentak.
Ketika semua perkara beralih kepada pendigitalan, concierge maya ini menghubungkan pembeli-belah dengan petugas khidmat pelanggan bagi memberikan perkhidmatan secara terus tanpa perlu mereka menjelajah ke seluruh pusat beli-belah berkenaan.
“Di bawah fungsi ‘Cakap Dengan Kami’, pembeli-belah kini mempunyai pilihan untuk menggunakan perkhidmatan layan diri atau memulakan perbualan video dengan petugas Khidmat Pelanggan Sunway Malls menerusi peranti mudah alih mereka sendiri.
“Menerusi chatbot ini, pembeli-belah boleh mendapatkan jawapan segera bagi semua pertanyaan mereka. Mereka juga boleh memilih untuk bercakap dengan bahagian Khidmat Pelanggan melalui panggilan suara dan video masa nyata dengan cara mengimbas kod QR untuk disambungkan ke peranti mudah alih masing-masing,” menurut kenyataan itu.
Selain daripada fungsi berkenaan, pengunjung pusat-belah itu juga mempunyai pilihan untuk terus mendaftar sebagai ahli Sunway Malls di concierge maya bagi mengikuti perkembangan terkini selain menikmati faedah serta tawaran menarik.
Semasa musim perayaan, masa menunggu untuk menebus hadiah juga boleh dikurangkan selain tidak perlu beratur panjang sebaliknya hanya dengan memasukkan butiran transaksi mereka melalui concierge.
Pelanggan juga berpeluang memberi penilaian terhadap perkhidmatan di pusat beli-belah itu sekali gus membolehkan Sunway Malls memahami dengan lebih balik pandangan pelanggan mereka dan memantau secara proaktif isu berkaitan pelanggan bagi mencari jalan penyelesaian.
“Mereka boleh melayari melalui tab ‘Acara dan Peristiwa’ untuk mengetahui acara atau aktiviti yang berlaku di pusat beli-belah. Pembeli-belah boleh mengimbas kod QR acara dengan mudah dan membaca maklumat melalui peranti mudah alih mereka semasa dalam perjalanan.
“Dengan adanya concierge maya ini, Sunway Malls dapat memberikan pengalaman terbaik kepada pelanggannya sama ada menerusi interaksi di pusat beli-belah mahupun pertanyaan secara digital, selari dengan visi teguh Sunway Malls iaitu ‘Mencipta Pengalaman Yang Memperkaya Kehidupan’,” menurut kenyataan itu. – BERNAMA