BUKIT JELUTONG: Sebanyak 600 kotak pakaian musim sejuk yang dikumpulkan sejak 2 Oktober lalu berlepas dari Port Klang pada jam 5 petang ini.
Ketua Pegawai Strategik Syria Care, Nurdiena Mohd Mardzi berkata, ratusan kotak berkenaan dijangka dapat memanfaatkan 2,000 pelarian Syria dari 500 keluarga yang berhadapan musim sejuk.
Katanya, sebanyak RM114,000 hasil kutipan dana awam untuk menampung kos logistik dari Malaysia ke Syria.
“Kami tidak menyangka kemurahan hati rakyat Malaysia merealisasikan projek “Warm Their Winter” Pengumpulan Pakaian Musim Sejuk untuk Pelarian Syria berjaya dicapai dalam tempoh seminggu.
“Sepanjang projek ini berlangsung, seramai 40 orang sukarelawan daripada MSU, UITM, AITAF dan orang persendirian telah datang membantu, ‘flag off’ hari ini disemarakkan dengan kehadiran artis, Saiful Apek.
“Hasil kerjasama daripada kesemua sukarelawan yang hadir, kotak telah selesai dimuat naik ke dalam kontena. Kontena dijangka berlepas ke Port Klang pada jam 5 petang ini,” katanya kepada MEDIA VARIASI selepas Flag Off Projek Pengumpulan Pakaian Musim Sejuk Untuk Syria yang dilancarkan di sini hari ini.
Turut hadir, artis Saiful Apek dan Pengurus Pemasaran Yayasan Ez Prihatin, Muhammad Zulfadhli.
Dalam pada itu, Muhammad berkata, kutipan dana untuk tujuan misi adalah RM1.7 juta setakat ini, namun masih memerlukan sumbangan tambahan dan sokongan untuk bekalan alat pemanas, makanan, baju tebal.
“Walaupun ini projek pertama berkolaborasi dengan NGO untuk melaksanakan misi ke luar negara, tetapi usaha kita masih bertumpu dalam Malaysia seperti misi banjir dan sebagainya.
“Projek ini akan diteruskan bagi zon Selatan di Universiti Islam Antarabangsa Malaysia kampus Pagoh, Muar, Johor yang akan bermula pada 17 sehingga 24 Oktober 2022.
“Orang ramai yang berada di Johor, Melaka dan Singapura dialu-alukan untuk hadir memberi sumbangan dan sokongan,” katanya.
Orang ramai yang ingin menyumbang boleh layari laman sesawang www.syriacare.org.my/warmtheirwinter.