CYBERJAYA: Pengerusi Penaja Gerakan Tanah Air (GTA), Tun Dr Mahathir Mohamad mengumumkan akan terus bertanding dalam Pilihan Raya Umum ke-15 (PRU15) dengan mempertahankan kerusi Parlimen Langkawi yang disandangnya.
Menurut Mahathir, calon Perdana Menteri tidak akan ditentukan bagi mewakili gabungan itu sekiranya memenangi PRU15.
“Keputusan telah dibuat iaitu di Langkawi calonnya ialah Dr Mahathir Mohamad.
“Tapi bukan sebagai calon bakal Perdana Menteri. Calon sebagai wakil rakyat saja,” umumnya pada sidang media di Yayasan Kepimpinan Perdana, hari ini.
Jelas Mahathir lagi, gerakan itu akan mempertaruhkan 120 calon atau berkemungkinan akan lebih termasuk wakil di Sabah bagi menghadapi PRU15.