HomeBeritaBPN tawar ayam RM7.99 sekilogram

BPN tawar ayam RM7.99 sekilogram

KUALA LUMPUR: Parti politik baharu, Barisan Penyatuan Nasional (BPN) menawarkan harga ayam RM7.99 di semua pasar mini khususnya untuk golongan B40 dan M40.

Presidennya, Datuk Ibrahim Yahya berkata, tawaran istimewa itu terpakai untuk rakyat yang mendaftar keahlian BPN.

“Setelah mereka mengisi maklumat, satu kad keahlian akan diberi dan kad ini perlu dipamerkan di semua pasar mini yang ambil bahagian.

“Selain ayam, rakyat juga dapat menikmati harga istimewa seperti beras, tepung, minyak masak dan gula.

“Saya mahu tekankan tiada dana awam digunakan, semua peruntukan adalah dari perniagaan kami,” katanya pada sidang media di Hotel Seri Pacific di sini hari ini.

Beliau turut menandatangani perjanjian memorandum persefahaman bersama (MoU) pembekal ayam, Bestari Widuri Sdn Bhd berpangkalan di Pulau Pinang.

Menerusi sidang media terdahulu, BPN berkata, jalinan kerjasama dengan kartel ayam penting untuk menurunkan harga ayam di pasaran, namun sejumlah peruntukan diperlukan untuk menampung keperluan itu.

Turut hadir, pengasas Trizure International (Malaysia) Sdn Bhd, Datuk Dr Selveraja iaitu sebuah syarikat pembekal gandum.

Dr Selveraja berkata, Malaysia bakal menjadi hab penanaman gandum secara hidrofonik.

“Ini adalah teknologi dari Jerman dan ujikaji sedang dibuat di India dan selatan Afrika.

“Kita rancang dalam tempoh enam bulan teknologi akan dibawa masuk ke Malaysia membabitkan peruntukan RM20 juta. Melaka akan jadi lokasi pertama untuk projek ini,” katanya.

Tambah Selvaraja, satu program khas mentor menti diwujudkan untuk membantu generasi muda menyelesaikan hutang Perbadanan Tabung Pendidikan Tinggi Nasional (PTPTN).

“Menerusi program ini, kita cuma hendak tahu apa minat dan kemahiran mereka sebelum peruntukan itu disalurkan,” katanya.

BPN sebagai platform pertubuhan rakyat sudah pun diketahui di Eropah dan Filipina, malah mendakwa bersetuju untuk berganding bahu bersama Malaysia untuk merealisasikan jihad ekonomi rakyat dan negara.

BPN yang bukan berlatar belakang politik juga mendakwa sudah mempunyai seramai tujuh juta keahlian, kebanyakan adalah golongan usahawan.

Author

Pilihan Editor